Wednesday, June 5, 2013

...

Terkadang cemburu bila tengok majlis orang lain meriah. Tak macam majlis kami. Sederhana dan yang datang kebanyakannya kerabat sendiri semata. Dan beberapa teman sekolah dan teman sekuliah. Semua sibuk. Paling terkilan bila dapat tahu Syahirah Sabri yang pertama tahu tentang kami tak perasan majlis kami sampai hampir jam 9 malam sebelum majlis. Yang kedua bila dapat tahu ada teman sekolah yang ada di UTP tak tahu siapa yang kahwin walaupun dah tau ada majlis.

Tengok juga pengantin pakai persalinan berbagai warna. Aku cuma pakai baju nikah Mak su yang kebetulan nikah tiga bulan sebelumnya. Kemudian sepersalinan baju sewa. Sekadar cukup syarat.

Kami nikah tak ikut adat. Cuma lengkapkan sekadar mampu. Hanya belanja sekadar perlu. Turutkan saja masa ibu yang betul-betul lepas pantang masa cincin pertama tersarung di jari aku. Ikutkan saja waktu ayah yang sibuk dari subuh sampai 2 pagi.

Ya, kami nikah nampak tergesa-gesa. 55 hari dari tarikh mak mertua sarungkan cincin ke jari aku, kami dinikahkan oleh ayah aku merangkap kadi kawasan kami. Jurukamera dihubungi pukul 12 malam sebelum majlis nikah. Sebab masing-masing baru teringat yang kami tak ada kamera untuk rakam kenangan hari bahagia cucu pertama Ungku Muis.

Majlis berinai hanya ada aku, ibu dan Mak Cah. Hanya bermula selepas selesai mesyuarat. Hampir 3 pagi baru aku boleh tidur tanpa nyenyak. Bimbang kalau inai terkena pada kain cadar rona krim yang dah siap dipasang, diganding dengan langsir hasil tangan ibu dari rona emas.

Tanpa pelamin, hanya sekadar meja makan beradap. Itulah majlis persandingan kami. Berlatar semarak api yang sedang berbunga, pohon sakura cinta kami. Masa ni dah tak ada kamera DSLR yang meneman. Ada gambar pun sekadar dari kamera handphone. Mak Cah yang jadi pengapit pengantin menghilang masa pengantin lelaki sampai untuk majlis makan beradap. Banyak urusan belakang tabir untuk diusaikan. Mak su yang jadi pengganti.

Tapi aku tak terkilan memilih dia.

Dia yang selalu temankan kesunyian aku, walaupun kami berbalas mesej lima jam sekali.
Dia yang hiburkan aku dengan karya lucunya walaupun dia cuba jadi serius.
Dia yang aku hanya pernah jumpa 4 kali sebelum majlis nikah.
Dia yang selalu sakit bila aku terpaksa pergi teruskan perjuangan yang tak kesampaian.
Dia yang selalu tersakiti bila aku tersalah kata.
Dia yang sentiasa beri semangat bila aku jatuh.

Berjauhan begini memang menyakitkan, walau hanya tinggal sebulan. Ditambah dengan timeline yang berhias gambar pengantin yang sedang bahagia.

Sebenarnya hanya perlu ungkap satu perkataan.

Rindu.

1 comment:

namia cinta said...

terasa sebak baca entry laling ...
biar lah majlis tidak sehebat mana tapi bahagia hingga akhir hayat dan saling sayang menyayangi .......

rindu gila dekat laling ......