Hasil tulisan: Touya Karuma
Diedit dan dinaik taraf bahasa oleh: hanis aleeya
A.B Cinta Aliya
“Kenapa Aliya diperlakukan sebegini?”
Aliya tidak pernah menyangka nasibnya akan berubah apabila usianya menginjak 18 tahun.
Ayahnya tidak pernah menjalankan tanggungjawab seorang ayah mahupun tanggungjawab sebagai seorang manusia. Seringkali pulang lewat malam dalam keadaan mabuk. Jika kalah dalam perjudian, tidak jarang tangannya ringan menampar pipi emak Aliya.
Sehinggalah pada suatu hari, dia meninggal dalam kejadian langgar lari. Beberapa hari selepas itu barulah Aliya tahu bahawa dirinya telah dijual kepada along bagi melangsaikan hutang ayahnya.
Dalam sekelip mata, segala impiannya musnah. Aliya dibawa oleh dua orang suruhan along menaiki sebuah kereta. Dia tidak berani melawan kerana bimbang keluarganya akan dicederakan.
Sekitar 45 minit kemudian, Aliya sampai di sebuah rumah. Rumah banglo itu begitu besar dan indah. Namun, ketakutan yang melanda jiwanya membuatkan Aliya merasakan rumah itu seperti neraka dunia ciptaan manusia.
Seorang lelaki yang berpakaian bersih dan kemas sedang menanti ketibaan Aliya di hadapan pintu. Melalui perwatakannya, Aliya dapat merasakan bahawa lelaki berpakaian putih itu merupakan ketua bagi dua orang along yang membawanya ke situ.
Mata Aliya tidak dapat lari daripada melihat wajah lelaki tersebut. Dia kelihatan begitu muda dan cara pergerakannya agak lemah lembut berbanding dua orangsuruhan sebelum ini.
“Awak?”
Lelaki itu memandang tepat ke arah Aliya. Pada saat itu, Aliya mula rasa gelisah. Pelbagai andaian muncul dan bermain-main di benaknya sekarang.
“Nama awak?” Sekali lagi lelaki itu bersuara.
Apabila lelaki itu menghampiri Aliya, barulah Aliya sedar bahawa lelaki di hadapannya mewarnakan rambut dengan warna perang.
“Hantar dia ke bilik saya,” arah lelaki itu.
Dua orang suruhan itu membawa Aliya ke bilik yang dimaksudkan. Dalam bilik itu penuh dengan pelbagai arca yang ukirannya menarik.
Selepas membawa gadis itu ke bilik, dua pemuda itu meninggalkan Aliya sendirian. Beberapa minit kemudian, pemuda berambut perang itu muncul.
Tanpa berkata apa-apa, dia menolak gadis itu sehingga jatuh terbaring di atas katil. Aliya mula ketakutan. Jantungnya berdegup kencang. Dia tidak mampu berkata apa-apa kerana terlalu bimbang akan apa yang akan dilakukan oleh lelaki itu terhadapnya. Sedangkan hendak bercakap pun dirasakan sukar, apatah lagi hendak melarikan diri atau melawan. Kudratnya pasti jauh lebih lemah daripada lelaki yang berdiri di hadapannya.
Lelaki tersebut tidak berkata apa-apa sebaliknya hanya menarik bantal yang terletak kemas di kepala katil.
“Awak ambil tilam. Bantal saya punya,”
Lelaki itu tidur di lantai tanpa sedikit pun menunjukkan niat untuk menyentuh gadis di hadapannya.
Malam yang panjang itu dirasakan terlalu singkat.
***
Gadis itu terjaga dari tidur dan mendapati dirinya masih berpakaian seperti semalam. Apabila dia menoleh ke lantai, Aliya mendapati lelaki itu sudah tiada.
Dia memandang ke sekeliling. Arca-arca batu yang disangkakan mempunyai ukiran unik semalam sebenarnya kelihatan amat pelik. Lantai bilik itu dilapik dengan permaidani berwarna merah dan terdapat corak kepala harimau.
Aliya memerhati lagi. Di bilik itu juga terdapat bingkai-bingkai gambar yang mempunyai lukisan yang menarik di dalamnya. Bingkai gambar yang terlalu banyak diletakkan di dinding bilik yang berwarna biru itu boleh membuatkan setiap orang yang memasukinya menyangkakan bilik itu dihuni oleh seseorang yang mempunyai masalah otak.
Di penjuru katil, terdapat sebuah almari kecil yang digunakan untuk menyimpan fail-fail penting. Di atasnya pula ada sebuah lampu meja, dan di sebelah lampu itu terdapat sepinggan nasi goreng.
Gadis itu mengangkat pinggan berisi nasi goreng itu dengan teragak-agak. Dia tidak pasti sama ada mahu makan atau membiarkan sahaja nasi yang sudah hampir sejuk itu.
Perasaan was-was dengan bahan yang diletakkan di dalam makanan itu berlawan dengan bunyi perutnya yang berkeroncong.
“Makan sahajalah,”
Pemuda itu muncul dengan berpakaian sehelai baju T putih tanpa lengan dan seluar trek berwarna hitam berjalur kuning.
Aliya memerhatikan setiap tingkah laku lelaki itu dengan debaran yang semakin kuat.
“Bukan saya yang masak. Saya belikan untuk awak tadi,”
Aliya masih mendiamkan diri.
“Nama saya Ash,”
Ash menghulurkan tangannya ke arah gadis itu. Aliya yang terperanjat secara tidak sengaja telah menjatuhkan pinggan berisi nasi goreng yang dipegangnya.
Melihat keadaan itu, Ash meninggalkan Aliya sendirian di dalam bilik.
***
Di sebuah rumah yang agak jauh dari kesibukan kota, seorang wanita dalam lingkungan lima puluh tahun memerhatikan anaknya yang berusia kurang lebih tujuh tahun yang sedang bermain bola.
Sebuah kereta berwarna hitam bergerak menuju ke rumah wanita itu dan berhenti beberapa meter dari tempat kanak-kanak itu bermain.
Ash keluar dari kereta itu dan mendekati wanita separuh abad yang dari tadi asyik memerhatikan anaknya.
“Apa lagi yang awak mahukan?” tanya wanita tua itu.
“Mak cik ambillah duit ini,”
Ash menghulurkan sampul berisi wang kepada wanita itu.
“Untuk apa kau beri aku duit ini? Kau sudah beli anak aku, sekarang kau mahukan aku pula?”
Mata wanita tua itu kelihatan berair namun tidak pula dilarikan dari melihat wajah Ash.
“Mak cik, kita perlu berbincang,”
Ash duduk bersandar di dinding tanpa meminta izin daripada wanita itu.
***
“Awak sudah bangun?”
Wajah Ash yang hanya berjarak sepuluh sentimeter daripada wajahnya membuatkan Aliya terperanjat.
“Bodoh!”
Aliya bertindak spontan dan menendang Ash sehingga terjatuh dari katil.
“Selepas tiga hari bersama saya, perkataan pertama yang keluar dari mulut awak adalah ‘bodoh’?"
Ash cuba menyembunyikan rasa senak di perutnya dengan berlelucon. Namun Aliya masih tidak menunjukkan reaksi yang dimahukannya.
“Emak awak cakap awak suka makan kuey teow goreng, jadi saya cuba masak sendiri,”
Ash mengunjukkan sepinggan kuey teow goreng yang berwarna hitam dan mengeluarkan bau yang pelik kepada Aliya.
“Awak berehatlah dahulu,”
Ash bergerak meninggalkan bilik itu untuk Aliya berehat tetapi langkahnya terhenti tiba-tiba.
“Awak,”
“Ya, saya?”
Ash mengalihkan pandangannya kepada Aliya.
“Saya hendak tanya satu soalan,”
“Silakan,” Ash kembali mendekati Aliya.
“Boleh saya pinjam sejadah?”
Bilik itu sunyi seketika. Kicauan burung dan bunyi cengkerik sesekali kedengaran.
“Err.. Maghrib belum masuk lagi,” Ash cuba memberi alasan.
“Saya hendak sembahyang subuh,” Suara Aliya yang lembut membuatkan jantung Ash bergetar.
“Ah, saya bergurau sahaja! Ada di bilik sebelah. Nanti saya ambilkan,” Ash cuba memberi helah.
“Awak tak guna sejadahkah?”
“Ada. Saya selalu guna sejadah. Tapi hari itu sejadah saya koyak, jadi saya sembahyang di atas tikar sahaja. Ah, baru saya teringat! Ada sejadah di tingkat atas,”
Ash berlari meninggalkan Aliya
Dia segera keluar dari rumah tersebut dan memandu sendirian menuju ke pusat bandar. Sesampainya di pusat bandar, Ash mencari-cari kedai yang menjual sejadah berpandukan tulisan yang terpampang pada papan tanda kedai. Kedai yang dia tidak pernah menjejakkan kakinya walau sekali pun.
Akhirnya dia berjumpa dengan apa yang dicari. Ash cuba membaca tulisan itu, malangnya dia tidak pernah mempelajarinya. Apa yang pasti, dia tahu di kedai itu ada menjual benda yang dicari-cari.
Sebelum masuk ke kedai itu, Ash melilau ke sekeliling, mencari-cari kalau-kalau ada orang yang mengenalinya. Setelah memastikan tidak ada orang yang melihat, Ash mendekati kedai itu dan segera melangkah ke dalam.
Seorang gadis yang berpakaian labuh dan bertudung litup menyambut kedatangan Ash.
“Boleh saya bantu awak?” tanya gadis itu.
“Di sini ada jual sejadah?” Ash bertanya antara dengar dan tidak. Perasaan segan menguasainya.
“Ada di dalam,”
Gadis itu menunjukkan rak yang menempatkan pelbagai jenis sejadah kepada Ash dan Ash mula memilih salah satu yang dirasakannya sesuai untuk Aliya.
***
Aliya mengambil pinggan berisi kuey teow yang dimasak oleh Ash. Sesekali perasaan pelik menerpanya. Layanan Ash terhadap Aliya sangat baik. Lelaki itu juga tidak pernah menyentuh Aliya sedangkan Aliya sekarang adalah perempuan simpanannya.
Hatinya mula terdetik untuk mengenali lelaki bernama Ash itu dengan lebih lanjut. Sikap dan layanan Ash terhadapnya membuatkan Aliya melupakan prejudisnya terhadap lelaki. Oleh kerana sejak kecil Aliya didera oleh ayahnya, Aliya menjadi takut terhadap manusia yang bernama lelaki. Kerana itulah setiap kali Ash melakukan sesuatu, dia bertindak di luar kawalan. Aliya berpendapat bahawa setiap lelaki bersikap kasar dan ganas terhadap kaum perempuan.
Namun, Aliya tidak dapat menemukan sifat lelaki yang dikenalinya sejak kecil dalam diri Ash. Sejak hari pertama mereka ditemukan, Ash sentiasa berlembut dan bersabar dengan telatah Aliya. Malah, Ash sanggup memasakkan makanan untuk Aliya biarpun tahu masakannya tidak seberapa.
Aliya memasukkan sesudu kuey teow ke dalam mulutnya dan mula mengunyah perlahan-lahan. ” Ada kulit telur, ”
Aliya memasukkan jari ke dalam mulutnya dan mengeluarkan serpihan kulit telur.
“Dah dapat!” jeritan Ash mengejutkan Aliya. Hampir tersedak Aliya dibuatnya.
“Saya dah dapatkan sejadah untuk awak,” kata Ash seraya memberikan sejadah yang baru dibelinya kepada Aliya. Matanya tertumpu pada kuey teow di dalam pinggan.
“Terima kasih,” kata Aliya lantas mengambil sejadah itu.
“Awak sudah sembahyang?” tanya Aliya lembut.
“Err.. Sudah. Saya dari tadi lagi sudah sembahyang,” Ash cuba berbohong.
“Awak hendak tahu tak, saya dari lahir lagi ada kelebihan untuk mengukur tahap iman seseorang,”
“Yakah?” balas Ash acuh tak acuh.
“Awak tak sembahyang,” Aliya menjadi semakin berani bermain dengan kata-kata.
“Mana awak tahu?” tanya Ash sedikit gugup kerana rahsianya sudah terbongkar.
“Orang yang beriman boleh nampak kebaikan dan kejahatan pada seseorang. Di kepala setiap orang ada lingkaran bulatan. Orang yang tidak sembahyang, di kepalanya ada lingkaran berwarna hitam,”Aliya cuba mempermainkan Ash.
“Yakah. Saya tidak pernah tahu pun tentang semua itu,”
“Tak! Saya tipu,”
Entah kenapa hati Aliya pada waktu itu terasa gembira sekali sedangkan dia tahu dirinya dalam bahaya.
***
Ash membuka matanya perlahan-lahan. Kepalanya terasa berat membuatkannya malas untuk bangun. Kalau diikutkan hati, ingin saja dia menyambung mimpi.
Ash tersentak apabila mendapati Aliya tidak ada di atas katil. Dia mula memikirkan yang bukan-bukan, Perasaannya kuat mengatakan bahawa Aliya telah melaikan diri.
“Tidak kira apa pun yang berlaku, Aliya tidak boleh lari dari rumah ini. Jika sesuatu berlaku kepada Aliya, akulah yang bersalah. Bagaimana dengan janjiku kepada ayahnya?” getus Ash.
Belum sempat Ash berbuat apa-apa, dia terdengar bunyi benda jatuh dari dapur. Segera dia berlari anak ke dapur.
Aliya sedang memasak sesuatu.
Melihat itu, Ash menarik nafas lega. Tanpa berfikir panjang, dia memeluk Aliya dari belakang.
Tindakan Ash membuatkan Aliya tergamam. Mahu sahaja dia menolak tubuh Ash tetapi ada sesuatu yang menghalangnya. Jantungnya berdegup kencang. Bukan kerana takut, tetapi kerana suatu perasaan yang tidak pernah Aliya rasai selama ini. Aliya sendiri gagal menafsirkan perasaan itu.
“Maaf,” kata Ash sambil melepaskan pelukannya.
“Tak apa,”
Tindakan Ash sebentar tadi sedikit sebanyak menakutkan Aliya. Tetapi Aliya yakin Ash tidak berniat jahat terhadapnya. Satu keyakinan yang terlalu kuat bagi mereka yang baru berkenalan empat hari lepas.
“Awak masak apa?”
“Nasi goreng. Makanlah,”
Aliya menghulurkan sepinggan nasi goreng kepada Ash.
Ash menjamah nasi goreng yang dimasak Aliya sedikit demi sedikit. Aliya hanya memandang.
“Aliya, saya hendak minta tolong awak,”
“Apa?”
“Ajarkan saya sembahyang,”
Ash sendiri tidak mengerti bagaimana dia boleh bertutur selancar itu. Yang pasti, di dalam dirinya muncul suatu perasaan ingin tahu yang membuak-buak. Perasaan dan keinginan untuk mencari ketenangan, setenang Aliya yang sedar nyawanya sedang berada di hujung tanduk.
“Boleh, tapi..” kata-kata Aliya terhenti. Matanya memandang ke arah rambut Ash.
“Apa? Fasal lingkaran tu? Awak cuma bergurau, bukan?”
“Bukan fasal lingkaran, tetapi rambut awak,”
“Kenapa?”
Awak warnakan rambut awak,”
“Jadi?”
“Tak sah kalau rambut diwarnakan,”
“Kalau begitu, saya akan warnakan hitam kembali,”
“Tak boleh. Awak kena potong semua rambut tu. Potong sampai botak,”
“APA?”
“Oh, Hehe.. Jangan risau. Saya ada gunting,”
Aliya menunjukkan sebilah gunting berwarna merah jambu kepada Ash.
“Saya tidak ingat saya pernah simpan gunting seperti itu,”
“Oh, saya bawa dari rumah. Saya simpan dalam baju. Saya ingat, kalau awak cuba ambil kesempatan, saya akan tikam awak,”
“Awak simpan gunting dalam baju?” tanya Ash seolah tidak percaya.
Hari itu Ash benar-benar berasa lega kerana tidak cuba mengambil kesempatan ke atas Aliya. Dia tidak dapat membayangkan nasibnya jika ditikam dengan gunting.
***
Hari demi hari, Aliya menjadi semakin rapat dengan Ash. Dia tidak pernah disentuh oleh Ash walaupun statusnya sekarang adalah perempuan simpanan Ash. Hanya sekali dia pernah dipeluk oleh Ash. Itu pun kerana Ash risau akan kehilangannya.
Aliya kini mulai merasakan kehidupan yang mewah. Namun, dia masih tidak melupakan ahli keluarganya. Selalu juga dia mengirimkan duit untuk ibunya. Tidak dapat Aliya bayangkan perasaannya apabila Ash membantu keluarganya.
Sifat Aliya menjadi bertambah ceria dan periang. Kerapkali dia membantu Ash sewaktu tertekan. Namun, hatinya sendiri masih belum sedar bahawa dia sudah jatuh cinta kepada Ash.
Ash yang sebenarnya menyimpas satu rahsia sulit berasa serba salah untuk menceritakan segala-galanya tentang ayah Aliya.
Kegiatan Ash semakin lama semakin berkurangan. Pendapatannya semakin sedikit, namun diri Ash yang dahulu, yang pentingkan kehidupan dunia, juga sudah hilang entah ke mana.
Ash sudah mula mengenal agama Islam dengan bantuan Aliya. Walaupun pada mulanya Ash bersembahyang dengan tunjuk ajar Aliya, kini dia sudah mampu mengimamkan solat dan Aliya menjadi makmumnya.
“Ash, saya hendak tanya sesuatu pada awak,”
Aliya menghulurkan nasi putih kepada Ash.
“Tanya sajalah,” kata Ash sambil menjamah nasi putih berlaukkan gulai ayam.
“Ash, Err.. Saya tahu saya sudah dijual kepada awak, tapi tak manis, bukan?”
“Setuju,” balas Ash ringkas.
“Maksud saya, awak sudah tahu kita bukan muhrim, bukan?”
“Setuju,”
“Jadi, tak baik kalau bukan muhrim berdua-duaan. Nanti mendatangkan maksiat,”
“Setuju,”
“Awak mesti tak mahu bebaskan saya, bukan?”
“Setuju,” Itu sahaja jawapan Ash.
“Jadi, boleh tak kalau kita kahwin?”
“Setuju,”
“Ah, maafkan saya. Saya cuma..” Aliya kehilangan kata.
“Saya setuju,”
“Err.. Awak. Tak apalah. Saya tahu awak tak setu.. Awak cakap apa tadi?”
“Saya setuju,”
“Setuju hendak kahwin dengan saya?”
“Ya, kalau awak sudi,”
Saat itu Aliya tidak menyangka bahawa Ash mahu menjadi suaminya. Ash pula tidak mengenakan sebarang syarat. Aliya yang mencintai Ash dalam diam, tidak pernah terlintas dalam fikirannya sama ada perkahwinan yang bakal dibina ini adalah atas dasar cinta, ataupun kerana dia sudah dijual. Apa yang pasti, Aliya ikhlas menjadi isteri Ash, atas dasar cinta.
Atas permintaan Aliya, mereka mahu pernikahan itu disegerakan. Ash sudah bertaubat dan Aliya bimbang sekiranya berlaku sesuatu yang di luar jangkaan sekiranya mereka terus bersekedudukan.
Ash pula tidak banyak kerenah. Segala permintaan Aliya ditunaikannya. Dia sudah masak benar dengan perangai Aliya. Setiap apa yang dilakukan oleh Aliya bukan untuk kepentingan dirinya melainkan untuk kebaikan mereka bersama.
Pada malam itu juga Ash membawa Aliya berjumpa dengan keluarganya yang sudah lama terpisah.
Ash memandu kereta Wajanya menyusuri jalan yang agak suram. Laluan itu merupakan salah satu laluan ke rumah Aliya. Aliya kelihatan teruja kerana tidak sabar hendak bertemu dengan keluarganya.
Namun begitu, ketika dalam perjalanan kereta mereka telah dilanggar dari arah belakang. Ash yang merupakan seorang pemandu yang cekap sejak di bangku sekolah lagi berjaya mengawal kereta itu daripada terlanggar pokok setelah berputar beberapa kali.
“Aliya, awak tidak apa-apa?” tanya Ash seraya menggerak-gerakkan bahu Aliya.
“Ash,” bisik Aliya.
Ash membantu Aliya keluar daripada kereta itu. Mujurlah mereka tidak mengalami sebarang kecederaan akibat daripada kemalangan itu.
Satu das tembakan kedengaran disusuli percikan api di pintu kereta berhampiran dengan Ash. Hampir mengenai sasarannya.
Ash menarik tangan Aliya dan mereka berdua berlindung di sebalik kereta.
Beberapa das tembakan lagi dilepaskan namun satu pun tidak mengenai sasaran.
“Ash!” Aliya menjerit ketakutan.
“Aliya, bawa bertenang,”
Ash menggenggam tangan Aliya. Bimbang seandainya Aliya bertindak balas di luar dugaan.
“Awak boleh berjalan?”
Aliya mengangguk.
“Orang itu cuma menembak dari jauh sahaja. Walaupun mereka menguasai keadaan, mereka tidak berani datang ke mari. Mereka tahu saya cekap dalam tembak-menembak,”
“Ash, jangan bunuh mereka. Tembak di kaki atau tangan sahaja, boleh?”
“Susahlah, Aliya,”
“Kenapa? Awak jangan jadi pembunuh. Kalau awak hendak bunuh mereka, biar saya yang lakukan,” desak Aliya.
“Tak boleh!”
“Tapi, Ash..”
“Saya tak bawa pistol,”
“Ash! Kenapa saat-saat macam ni awak tak bawa pistol?”
“Mana ada orang bawa pistol jumpa dengan bakal mak mertua,” balas Ash.
“Harap nama saja gengster! Benci!”
Aliya memasamkan muka.
“Aliya, awak merajuk?”
Aliya tidak menjawab. Wajahnya ditundukkan.
“Okeylah Aliya. Saya bersalah. Ini hal antara hidup dan mati. Ayuh, kita larikan diri dari mereka,”
“Ash, kita kena berunding dengan mereka,”
Ash hanya mengangguk. Namun, sebelum sempat Ash berbuat apa-apa, Aliya bangun dari tempat persembunyian mereka.
“Orang jahat! Kita berbincang. Apa kata awak bunuh Ash sahaja dan lepaskan saya?”
Satu das tembakan dilepaskan ke arah Aliya. Hampir mengenai kepalanya. Mujurlah Ash bertindak cepat dan menarik Aliya supaya tunduk.
“Aliya, boleh tak serius sikit?” marah Ash.
“Ash, dengan orang jahat tak boleh dibawa bergurau,”
Ash menggelengkan kepala.
Bunyi tembakan berhenti. Ash terus menarik tangan Aliya dan mengajaknya melarikan diri dari tempat itu.
“Saya rasa mereka sedang mengisi peluru. Dalam beberapa saat ini, kita kena lari sejauh yang mungkin,”
Ash membawa Aliya masuk ke dalam hutan. Pokok-pokok di hutan itu menyukarkan pihak musuh mencari mereka dan boleh dijadikan tempat berlindung daripada terkena tembakan peluru. Mereka terus berlari sehingga bertemu sebatang sungai. Air sungai itu cetek dan alirannya agak perlahan.
“Aliya, gunakan sungai ini sebagai panduan. Teruskan berjalan. Awak akan sampai ke pekan nanti. Saya akan lengahkan mereka,”
“Tak nak!” jerit Aliya.
“Aliya, tolonglah. Ini bukan hal main-main,”
“Tapi saya cintakan awak!”
Berderau darah Ash mendengar ungkapan dari mulut Aliya. Mahu sahaja rasanya dia memeluk gadis itu.
“Saya cintakan awak. Saya tak kisah kalau saya perlu mati bersama awak,”
“Aliya, sebab itulah saya tak mahu ikut kehendak awak kali ini,”
“Ash?”
“Maafkan saya. Saya tak mahu mati bersama awak,”
“Ash, kenapa?”
Air mata mula membasahi pipi Aliya.
“Kerana saya cintakan awak. Saya memilih untuk terus hidup bersama awak. Walau apa pun yang terjadi,” balas Ash.
Aliya mengesaat air matanya dari terus menitis. Hatinya menjadi cair mendengar pengakuan Ash. Semangatnya bangkit semula.
“Aliya, lekas. Berjalan ikut anak sungai ini. Jangan risau. Saya akan ikut awak kemudian,” desak Ash.
“Janji?” tanya Aliya.
“Saya janji. Saya cintakan awak,” kata Ash.
“Saya cintakan awak,”
Aliya terus berjalan menyusuri anak sungan. Ash meninggalkan tempat itu setelah Aliya berada agak jauh darinya.
***
Dua orang yang melepaskan tembakan tadi cuba menjejaki Ash dan Aliya ke dalam hutan. Mereka sudah memastikan pistol mereka berfungsi dengan baik. Aliya dan Ash harus mati malam ini juga.
Selang beberapa minit, mereka melihat Ash berdiri di sebatang sungai. Salah seorang daripada mereka mengacukan pistol ke kepala Ash. Jika dia melepaskan tembakan Ash tidak mungkin selamat.
Sebelum sempat dia menarik picu, rakannya menghalang.
“Jangan!”
“Kenapa?”
“Saya kenal Ash. Dia bukannya bodoh hendak berdiri di kawasan lapang. Ini adalah satu perangkap!”
“Perangkap?”
“Mungkin ini satu perangkap. Ash tidak akan mengorbankan nyawanya. Dalam erti kata lain, menyerah diri. Ash sudah menyerah diri.”
“Ash mengaku kalah?”
“Tidak. Lebih kepada rundingan,”
“Rundingan tidak diterima.”
“Bukan sebarangan rundingan,”
“Maksud awak?”
“Ash hendak lengahkan masa. Masa untuk perempuan itu melarikan diri,”
“Sekarang apa yang kita perlu buat?”
“Kita bersemuka dengan dia,”
“Awak yakin?”
“Mari,”
Mereka berdua keluar dari tempat persembunyian. Dua pucuk pistol masih lagi dihalakan ke arah Ash.
“Hai, Alex! Akim!” sapa Ash tenang.
“Puas aku cari kau! Kalau diikutkan hati, kau sudah mati. Kau cuma bernasib baik kerana Alex menghalang,”
“Seperti yang sudah dijangkakan. Satu tindakan yang bijak, Alex!" puji Ash.
“Ash, aku bukan lagi kawan kau!”
Alex memandang Ash dengan penuh kebencian.
“Jadi, Akim, awaklah punca segalanya?”
“Ya. Aku dah bosan mengikut jejak langkah ketua kita.”
“Jadi awak yang bunuh dia?”
“Aku sendiri yang langgar dia. Tak sangka pula dia wasiatkan kumpulan ini kepada anaknya,”
“Awak bunuh ketua, semata-mata hendak mengambil alih kumpulan?”
“Itu rancangan aku. Aku yang akan menjadi ketua kumpulan ini.”
“Bagaimana dengan Alex?”
“Dia akan jadi pembantu aku,”
“Oh! Cuma jadi pembantu? Dia melakukan perkara yang sama dengan apa yang awak lakukan, tetapi habuannya tidak setimpal. Apa yang awak akan dapat?” Ash mengarahkan soalan itu kepada Alex.
“Kim, jangan risau. Saya cuma mahu bunuh Ash!” balas Alex.
Telahan Ash tepat sekali. Alex tidak berniat langsung untuk mengetuai kumpulan itu. Sasarannya hanya satu. Ash! Tersilap langkah, maut yang menantinya. Satu-satunya senjata yang dia ada sekarang hanyalah akal.
“Ash, aku tahu niat kau. Kau sengaja hendak lengahkan masa untuk perempuan itu lari, bukan?”
Dari percakapan Akim, Ash berasa yakin bahawa mereka belum lagi menemui Aliya. Asalkan tidak ada apa-apa yang berlaku sewaktu Aliya melarikan diri bersendirian, Ash pasti Aliya akan selamat.
“Awak bunuh ketua kerana hendak menguasai kumpulan. Tetapi ternyata dia lebih bijak. Dia menulis wasiat lebih awal supaya kumpulan ini diwarisi oleh anaknya,” Ash memulakan bicara semula.
“Jadi, aku cuma perlu bunuh anaknya,”
“Bukankah saya sudah cakap, ketua kita lagi bijak? Dia mengatakan kumpulan ini akan diwarisi oleh anaknya. Tetapi sebenarnya diwariskan kepada saya,”
“Ah! Jangan merepek! Di dalam wasiat itu hanya menyatakan kau yang akan melindungi anaknya. Dia meminta kau untuk menggunakan orang kanannya dan orang yang rapat dengan kau untuk tujuan itu. Aku masih ingat semuanya.” balas Akim.
“Memang betul. Orang kanannya adalah awak, dan orang yang paling rapat dengan saya adalah Alex. Saya tertarik dengan perkataan ‘gunakan’ yang ditulis dalam wasiat itu,” balas Ash. Riak suaranya menunjukkan bahawa dia sedikit pun tidak berasa takut dengan situasi dirinya.
“Tapi apa yang kau arahkan kepada kami hanyalah untuk membawa anaknya berjumpa kau,” sampuk Alex.
“Betul. Awak bawa Aliya kepada saya dengan menyatakan bahawa dia telah dijual untuk melangsaikan hutang ayahnya. Saya tahu itu arahan saya,”
“Untuk apa kau buat begitu?”
“Untuk melindungi Aliya. Ketua tahu bahawa anaknya berada dalam situasi yang bahaya. Dia juga tahu bahawa orang yang membunuhnya adalah awak berdua. Sebab itulah nama saya disebut dengan jelas dalam wasiat itu tetapi nama awak berdua hanya dikiaskan sahaja,”
Ash mengalihkan pandangannya ke arah Akim.
“Akim, jika saya berkahwin dengan Aliya, hak kumpulan kita akan diberikan kepada saya. Kalau awak bunuh saya sekarang, ahli kumpulan kita yang lain pasti akan bunuh awak. Tetapi kalau awak bunuh Alex, saya akan berikan kumpulan ini kepada awak. Saya cuma mahu hidup,” Ash menyatakan tawarannya.
Tanpa berfikir panjang, Akim mengacukan pistol di tangannya ke arah Alex. Sebelum sempat dia bertindak, Ash membaling sebilah pisau sehingga menyebabkan pistol yang dipegang Akim terlepas dan jatuh ke tanah.
“Alex, sekarang!” jerit ash.
“Nanti, Alex! Aku..”
Satu das tembakan dilepaskan oleh Alex. Tepat mengenai kepala Akim.
“Apa yang kau cuba lakukan?” tanya Alex. Pistolnya diacukan ke arah Ash semula.
“Kenapa?” tanya Ash.
“Dia boleh bunuh aku tadi. Kenapa kau tolong aku?” desak Alex.
“Awak jenis yang setia. Susah untuk saya menghasut awak. Tidak seperti Akim yang tamak. Dia tidak akan teragak-agak untuk bunuh awak,” balas Ash.
“Tetapi kau tetap akan mati, bukan? Sia-sia sahaja rancangan kau itu.”
“Tidak. Sejak awal-awal lagi saya tidak merancang untuk mati,”
Ash memetik jari. Serentak, beberapa ahli kumpulan mereka yang setia dengan Ash muncul secara tiba-tiba. Mereka menghalakan senjata masing-masing ke arah Alex.
“Bagaimana mereka tahu kita ada di sini?”
Alex terpinga-pinga.
“Semua ini sudah dirancang sejak kematian ketua kita. Saya mengesyaki awak berdua ada kaitan dengan kematiannya secara tiba-tiba. Untuk mengelakkan syak wasangka, saya telah mempertaruhkan Aliya dengan menyuruh awak berdua membawakan dia kepada saya.”
Ash menghampiri Alex yang sudah tidak mampu melakukan apa-apa kerana masih terkejut dengan kehadiran ahli kumpulan mereka yang lain. Pistol di tangan Alex diambil dengan mudah kerana Alex tidak berani melawan.
“Keselamatan Aliya terjamin selagi dia bersama saya. Saya tahu suatu hari nanti kalian pasti akan bertindak. Jadi saya ciptakan peluang untuk awak berdua,”
“Peluang?”
“Ya. Peluang untuk awak berdua bunuh saya. Saya sengaja memberitahu awak berdua bahawa saya akan mengahwini Aliya, dan saya akan ke rumahnya pada malam ini. Saya pasti Akim akan bertindak kerana jika saya mengahwini Aliya, kumpulan ini akan berada dalam genggaman saya. Dan saya tahu awak akan menghalang saya kerana..”
“Kau mempergunakan aku!”
“Maafkan saya, Alex. Saya telah mempermainkan keikhlasan cinta awak terhadap saya,”
Mata Alex mula berlinangan.
“Awak pasti akan halang saya kerana awak cintakan saya. Cinta awak sudah bertukar menjadi benci. Walau bagaimanapun, saya tetap akan selamatkan awak,”
“Selamatkan saya?” tanya Alex.
“Ya. Saya yakin Akim hanya mempergunakan awak. Akim akan bunuh awak selepas dia berjaya membunuh saya. Tetapi Akim tidak tahu saya telah meletakkan fungsi speed dial pada telefon. Saya hubungi mereka ketika kejadian tembak-menembak tadi. Saya tidak bercakap apa-apa apabila menjawab panggilan, tetapi bunyi tembakan cukup kuat untuk didengar dari telefon,”
“Bagaimana mereka boleh tahu lokasi kita?”
“GPS. Dengan GPS mereka dapat mengesan di mana lokasi kita. Tetapi lokasi yang ditunjukkan hanyalah dalam skala besar sahaja,”
“Jadi, kau tinggalkan perempuan itu melarikan diri sendirian supaya kami berfikir kau cuba lengahkan masa untuk dia lari? Tetapi sebenarnya untuk mereka mencari lokasi kita?”
“Betul. Apabila saya yakin mereka berada berhampiran, saya berikan satu lagi isyarat,”
“Isyarat apa?”
“Bunyi tembakan. Tembakan yang membunuh Akim. Seperti yang saya katakan tadi, saya merancang untuk selamatkan awak. Jadi saya kena pastikan awak yang menembak dan bukannya Akim,”
“Kau tahu kau akan gagal hasut aku, jadi kau hasut Akim. Akim yang belot dan cuba bunuh aku, tapi kau tolong aku. Kau tahu aku tidak akan teragak-agak lagi membunuh Akim yang cuba berlaku khianat. Aku sudah kalah,”
Alex jatuh terduduk.
“Saya sudah lama bertaubat dan merancang untuk meninggalkan kerja-kerja ini. Saya harap suatu hari nanti awak akan menjadi seorang gadis biasa,”
Ash meninggalkan Alex dan ahli kumpulannya yang lain.
“Ash, kau cintakan gadis itu?” tanya Alex sebelum Ash melangkah lebih jauh.
“Saya cintakan dia sepenuh hati saya!”
***
“Hiyah!”
Aliya melompat ke atas katil. Mujurlah Ales sempat mengelak.
“Sayang! Bahayalah!” marah Ash.
“Hehe.. Saya tiru gusti semalam,”
Aliya tersenyum nakal.
“Kenapa tak bangunkan abang?”
“Eleh. Abang, lepas subuh terus tidur balik. Pergi kebun malas,” perli Aliya.
“Ashraf, ada tetamu datang,” Suara ibu Aliya kedengaran dari luar bilik.
“Ya, emak,”
Ash keluar dari bilik dan menuju ke ruang tamu.
“Alex!”
“Ash, saya tidak boleh lama-lama di sini. Terima kasih kerana memberikan saya peluang kedua lima tahun yang lepas,” Alex menyerahkan sampul surat berwarna biru muda dan segera berlalu.
Aliya datang dan mencubit pipi Ash sehingga nampak kemerahan.
“Nak menggatallah itu,”
“Mana ada, sayang. Itu kawan lama. Dia pun sudah hendak berkahwin sekarang,”
Ash meletakkan sampul surat yang diberikan oleh Alex di tangan Aliya.
“Aliya, abang hendak tidur sebentar. Nanti kejutkan abang,”
Ash berbaring di atas sofa di ruang tamu. Namun, sebelum sempat Ash melelapkan mata, seorang kanak-kanak berumur empat tahun melompat ke atas tubuhnya.
“Sakit pinggang papa!” Ash memarahi budak itu.
“Mama yang ajar,” Budak itu membalas.
“Aliya!”
Jeritan Ash bergema di seluruh rumah.
No comments:
Post a Comment