Thursday, April 1, 2010

Saat Terakhir

SalaAm..

Entri khas untuk hari yang baik..

Cerpen pertama Nis yang disiarkan dalam majalah Remaja edisi 15 Januari 2010.
Selamat semuanya..

Jangan lupa komen selepas baca.

***


Saat Terakhir

Inilah saat terakhirku melihat kamu
Jatuh air mataku menangis pilu
Hanya mampu ucapkan
Selamat jalan kasih
Satu jam saja kutelah bisa cintai kamu di hatiku
Namun bagiku melupakanmu butuh waktuku seumur hidup
Satu jam saja kutelah bisa sayangi kamu… di hatiku
Namun bagiku melupakanmu butuh waktuku seumur hidup
dinanti ku

Tengku Zhafran menanti ayahnya di pintu pagar. Sebentar lagi dia perlu pulang ke asrama. Dia tahu tidak ada gunanya menangisi apa yang sudah terjadi.Semuanya sudah ditetapkan untuknya sejak azali. Apa yang boleh dilakukannya sekarang hanyalah mendoakan kesejahteraan ibunya di alam sebelah sana.
                        *                      *                      *                      *                      *
“Arin, ke mari sekejap, nak..” panggil Tengku Qistina. Suaranya yang lirih menjadi petanda bahawa sakitnya semakin berat.
“Ada apa, Ibu Long?” ujar Tengku Qashreena seraya mendekati ibu saudaranya. Qistina mengambil kotak cincin yang disimpannya di dalam laci meja di sisi katil. Dia menyarungkan cincin itu ke jari Qashreena. Gadis itu tergamam.
“Reen pakai ni..’ kata Qistina. Qashreena melirik ke arah ibunya. Tengku Hanis tidak berkata apa-apa. Dia juga sepertinya belum mengerti kemahuan Tengku Qistina saat itu.
“Arin jangan buka cincin ni, ya. Ibu Long nak Reen pakai cincin ni sampai bila-bila.” pesan Qistina. Qashreena diam.
“Reen, keluar sekejap. Ibu nak bercakap dengan Ibu Long.” arah Hanis.
“Baik, bu,” ujar Qashreena lalu meninggalkan ibu dan ibu saudaranya. Dia membelek-belek cincin yang disarungkan oleh Tengku Qistina tadi.
Sebelum ini kerap juga Ibu Longnya memberikan hadiah seperti itu kepadanya. Kebanyakannya masih dipakai selagi dapat digunakan. Jika sudah tidak boleh digunakan pula, Qashreena akan menyimpannya di dalam sebuah kotak berbentuk peti harta karun yang juga pemberian Tengku Qistina.
“Cantik..” getus Qashreena.
Di dalam bilik, Hanis mendekati kakak iparnya. Dia duduk di sisi katil. Qistina masih lagi membelek-belek kotak cincin yang kini kosong.
“Kak, apa makna semua ni? Kakak macam lebihkan Arin daripada Zhaf, anak akak sendiri. Dari dulu lagi Nis perhatikan. Kadang-kadang Zhaf datang mengadu pada Nis. Dia cemburu lihat akak beri macam-macam pada Arin..” ujar Hanis.
“Nis, akak nak minta Nis jaga Arin baik-baik.”
“Mestilah Nis jaga dia, kak. Reen kan anak Nis. Lagipun, dia sahajalah yang Nis ada. Nis dah tak ada orang lain lagi, kak.”
“Akak nak Nis satukan Arin dengan Zhaf, boleh?” pinta Qistina. Giliran Hanis tergamam.
                        *                      *                      *                      *                      *
“Qashreena, datang ke bilik saya masa rehat nanti.” arah Puan Anita. Qashreena yang sedang menjalankan tugasnya tersentak. Entah bila masanya gurunya itu tiba.
“Baik, puan..” balasnya.
Setelah Puan Anita berlalu, Qashreena melirik ke arah jam tangannya. Masih ada 10 minit sebelum kelas bermula. Loceng di asrama sudah berbunyi memanggil-manggil pelajar untuk perhimpunan pagi. Keadaan di asrama di seberang jalan berhadapan dengan sekolah sudah lengang.
“Abang Zhaf, nak tutup pagar sekarang ke? Rasanya macam dah tak ada budak lewat lagi ni..” tanyanya sebaik sahaja melihat Tengku Zhafran, sepupunya yang juga ketua pengawas sekolah, melalui kawasan itu.
“Lima minit lagi, Reen. Tunggu sahajalah. Sekejap lagi mesti ada lagi yang datang lewat. Kalau bukan budak asrama, budak luar..” balas Zhafran sebelum meneruskan perjalanannya ke bilik guru. Qashreena memandang dengan pandangan kosong. Fikirannya terfokus pada arahan Puan Anita tadi.
“Ada apa, ya?” tanyanya sendirian.
                        *                      *                      *                      *                      *
Qashreena mengetuk pintu bilik PK HEM. Puan Anita sedang berbual di telefon. Dia menanti seketika sebelum mengambil keputusan untuk duduk di kerusi yang disediakan di hadapan bilik itu.
“Qashreena, masuk.” panggil Puan Anita setelah menamatkan perbualannya. Dia meletakkan dokumen-dokumennya ke dalam bakul ‘MASUK’ di sudut sebelah kanan meja.
“Ada apa-apa yang boleh saya bantu, puan?”tanya Qashreena.
“Duduk dulu, Qashreena.” ujar Puan Anita.
“Hmm.. Saya dengar awak ada lakukan kesalahan..” kata Puan Anita memulakan bicara setelah Qashreena mengatur duduknya.
“Betulkah, puan? Saya rasa saya tak ada buat apa-apa pun.” balas Qashreena. Dia mencari-cari kalau-kalau ada kesilapan yang dilakukannya.
“Peraturan 5.1, dilarang memakai atau membawa sebarang barang kemas ke sekolah. Awak rasa awak ada langgar peraturan tu?” tanya Puan Anita. Qashreena terhenti. Dia meraba-raba cincin emas di jarinya.
“Tapi..”
“Awak pengawas, Qashreena. Saya tak mahu ada pelajar yang jadikan itu alasan untuk melanggar peraturan. Benda ni memang nampak remeh. Tapi saya tak mahu benda remeh-temeh macam ni merosakkan reputasi badan pengawas. Lebih-lebih lagi awak tinggal di asrama. Mustahil pelajar lain tidak perasan tentang cincin tu. Awak faham, kan?”
“Ibu Long saya tak benarkan saya buka cincin ni.” kata Qashreena membela diri.
“Kalau begitu, awak kena sediakan surat tunjuk sebab.” tegas Puan Anita. Telefon di sisinya berdering nyaring.
“Maafkan saya,” ujar Puan Anita sebelum menjawab panggilan. Seketika kemudian, dia berpaling kembali ke arah Qashreena.
“Tolong panggilkan Tengku Zhafran, kemudian balik ke kelas awak..” arah Puan Anita.
“Ada apa, puan?” tanya Qashreena.
“Panggilkan saja Tengku Zhafran.” ujar Puan Anita tanpa menjawab soalan Qashreena. Mendengar itu, Qashreena terus ke kelas Tengku Zhafran. Seketika kemudian, dia kembali ke bilik PK HEM bersama Zhafran.
“Qashreena, kan saya suruh awak balik ke kelas?” desis Puan Anita sebaik melihat wajah Qashreena tersembul di muka pintu setelah Zhafran memasuki biliknya
“Saya nak tahu apa yang berlaku. Kalau ada sesuatu berlaku pada keluarga Abang Zhaf, maknanya ada kaitan dengan saya.” tegas Qashreena.
“Dia sepupu saya, puan..” ujar Zhafran membela apabila dilihatnya Puan Anita seperti hendak memarahi Qashreena. Puan Anita mengangguk.
“Baiklah kalau begitu. Zhafran, ayah kamu dalam perjalanan ke sini. Satu jam lagi dia sampai. Ibu kamu sakit tenat..“ ujar Puan Anita.
                        *                      *                      *                      *                      *
“Hati-hati balik, yah. Jangan fikirkan sangat tentang ibu. Bahaya ayah balik seorang macam ni..” pesan Zhafran.
“Yalah, Zhaf. Kamu pun belajar elok-elok. Kamu sahaja harta ayah yang tinggal. Arin, Ayah Long balik dulu,” ujar Tengku Hadi sambil memandang anak saudaranya itu.
“Zhaf, ibu suruh jaga Qashreena..” bisik Hadi ketika Zhafran menyalaminya. Qashreena sudah mengangkat begnya untuk ke asrama puteri yang agak jauh dari situ.
Zhafran memerhati kereta ayahnya yang  mula meninggalkan kawasan asrama. Qashreena sudah di pintu asrama puteri. Setelah menandatangani buku keluar-masuk di pos pengawal, dia mengambil barang-barangnya yang diletakkan di pangkin di hadapan asrama.
Merasa dirinya diperhatikan, Qashreena menoleh. Zhafran masih di hadapan wakaf tempat Tengku Hadi menurunkan mereka tadi. Qashreena melambai ke arah Zhafran sebelum masuk ke kawasan asrama puteri yang dipagar dengan zink untuk tujuan keselamatan.
                        *                      *                      *                      *                      *
Lima tahun kemudian…

“Tengku, Tengku sudah sedar?” tanya suara itu. Zhafran cuba menggerakkan tangannya dan mengatur kedudukan badannya. Kesakitan menjalar di seluruh tubuh. Pandangannya masih berpinar.
“Awak siapa? Saya di mana sekarang?” tanya Zhafran setelah dirasakan sakitnya berkurangan. Dia memandang wajah pemuda sebayanya itu.
“Saya Karim. Tengku di hospital sekarang. Sekejap lagi doktor datang. Saya sudah panggilkan tadi..” balas Karim.
“Qashreena.. Qashreena mana?”
“Maksud Tengku, perempuan yang dengan Tengku tadi tu? Jangan risau, Tengku. Dia selamat. Sekarang dia masih dirawat.”
“Baguslah..” desis Zhafran lega. Dia cuba mengingati apa yang terjadi. Kesal rasanya kerana tidak mendengar nasihat ayahnya supaya tidak memandu lagi. Hampir saja dia menjerumuskan Qashreena ke lembah kematian. Penyakit epilepsi yang dihidapinya sudah beberapa kali menyerang ketika sedang memandu.
                        *                      *                      *                      *                      *
“Waalaikumussalam. Oh, Abang Im.. Nak jumpa? Boleh. Di mana? Okey. Nanti Reen ke sana, ya. Dalam pukul.. Lima? Okey.”
“Siapa tu, Reen?” tanya Zhafran sangsi. Qashreena nampak ceria setelah mendapat panggilan itu sedangkan baru sebentar tadi dia merungut tentang pelajarannya dan minta dibantu.
“Abang Im.. Dia nak jumpa Arin petang ni.”
”Karim? Buat apa dia nak jumpa Reen?”
“Reen minta tolong dia carikan maklumat untuk program minggu depan. Hmm.. Ada satu lagi Reen nak beritahu abang. Nak tahu tak?” tanya Qashreena memancing tatkala melihat Zhafran seperti tidak mengambil berat apa yang dikatakannya. Zhafran mengangguk kecil.
“Reen dengan dia sekarang,” ujar Qashreena.
Zhafran membisu. Niatnya terbantut. Sudah lama dia menyimpan perasaan pada sepupunya itu. Dalam hatinya, dia mengeluh sendiri.
                        *                      *                      *                      *                      *
“Zhafran, ini pesanan terakhir ibu Zhaf sebelum dia meninggal. Ayah rasa sudah sampai masanya Zhaf tahu perkara ni.” ujar Hadi sambil menghulurkan surat yang ditinggalkan oleh Tengku Qistina untuk anaknya.
Zhafran membuka surat itu dan membacanya perlahan-lahan. Ringkas sahaja isinya. Hadi menanti dengan penuh debaran. Apa yang dirahsiakannya selama ini akhirnya harus diketahui oleh anaknya. Segalanya kini harus diputuskan oleh Zhafran.
“ Ibu nak Zhaf kahwin dengan Reen?” tanya Zhafran minta kepastian.
“Zhaf rasa?”
“Tapi Reen cintakan Karim. Dia takkan pandang pun muka Zhaf yang tak kacak ni, yah.” kata Zhafran. Nafasnya masih terasa disekat oleh sesuatu.
“Zhaf sendiri macam mana?” tanya Hadi tanpa memberi jawapan yang pasti. Zhafran mengeluh.
“Ayah tahu Zhaf sayangkan Arin. Siapa kata anak ayah ni tak kacak. Tinggi. Tegap. Putih melepak macam tuan puteri. Kerja pun elok. Zhaf cuba bincangkan dengan Reen dulu.” pujuk Hadi.
“Tengoklah dulu, yah.” putus Zhafran. Dilema itu menyesak di minda dan dadanya.
                        *                      *                      *                      *                      *
“Tak boleh ke kita batalkan semua ni, yah?” tanya Qashreena cuba memujuk ayahnya.
“Reen jangan nak mengada-ngada.”
”Tapi Reen nak kahwin dengan Abang Im..”
” Tak boleh, Arin. Dia tu siapa? Kita ni siapa?”
“Apa salahnya kalaupun dia bukan dari keturunan elit, yah?”
“Kau nak malukan keluarga kitakah? Tengku Zhafran nak diletak di mana? Campak ke laut?” tengking Raja Hakimi.
”Apa kaitan Zhaf dengan semua ni, yah? Reen nak kahwin dengan Abang Im. Bukannya Zhaf.”
”Baru sekarang kau nak tanya apa kaitan Zhafran dengan semua ni? Kan dari dulu lagi ayah dah larang kau berkawan dengan budak Karim tu?”
“Habis tu? Apa kena-mengena dengan Zhafran, ayah? Arin tak nampak pun Zhafran tu sebagai penghalang. Zhaf cuma sepupu Arin, bukan?”
”Kau nampak apa kat tangan kau? Apa yang Tengku Qistina bagi kau dulu? Apa yang kau pakai tu? Jawab!”
Qashreena terkedu. selama ini dia tidak pernah teringat cincin itu pemberian Tengku Qistina, arwah ibu Zhafran. Baru dia mengerti kenapa Tengku Qistina beria-ia hendak menyarungkan sendiri cincin itu ke tangannya sedangkan Qistina sendiri ketika itu sedang sakit. Sakit yang meragut nyawanya.
“Kenapa diam? Bisu? Tadi boleh pula menjawab.”
Qashreena masih membisu. Tidak mampu lagi bersuara. Cincin itu tidak pernah sekali pun ditanggalkannya. Itu wasiat terakhir Tengku Qistina untuknya. Dia tidak pernah melepaskan cincin itu dari jarinya walaupun terpaksa bersusah-payah menerangkan kepada gurunya dahulu tentang cincin itu.
“Arin..” panggil Raja Hakimi lembut. Dia duduk kembali di sisi anaknya itu apabila melihat Tengku Qashreena terdiam.
“Maafkan Arin, yah.. Arin..”
Qashreena teresak.
“Tak apa, Reen. Ayah pun minta maaf sebab tak pernah terangkan pada Arin kenapa Arin tak boleh tanggalkan cincin tu. Arin tak tahu pun yang Zhaf tu sebenarnya tunang Reen selama ni,” pujuk Hakimi. Tangannya membelai lembut rambut anak kesayangannya itu.
                        *                      *                      *                      *                      *
Tengku Qashreena mendiamkan diri. Sejak dua minggu lalu dia jatuh sakit. Raja Hakimi dan Tengku Hanis tidak dapat melelapkan mata memikirkan majlis akad nikah yang akan diadakan dua hari lagi. Keadaan Qashreena sepertinya semakin teruk. Tengku Zhafran juga sudah pusing kepala mengenangkan tunangannya itu.
Sejak Qashreena dimasukkan ke wad, sudah banyak kali Tengku Zhafran membuka dan membaca kembali salinan wasiat Tengku Qistina yang disimpannya. Sesekali air mata lelakinya jatuh membasahi pipi. Ayahnya pula tidak mahu berkata apa-apa lagi. Segala beban itu harus ditanggungnya sendirian.
Zhafran terkenang kembali wajah Karim, teman baiknya yang juga merupakan bekas teman lelaki Qashreena. Kerana dia, akhirnya hubungan Karim dan Qashreena putus begitu sahaja. Mereka menjadi rapat kerana Karim pernah membantunya suatu ketika dahulu. Patutkah dia membalas kebaikan itu dengan mengahwini Qashreena dan melukakan hati keduanya?
Tengku Zhafran buntu. Segala persiapan sudah disediakan. Qashreena tidak mahu perkahwinannya disambut besar-besaran. Cukup sekadar majlis ringkas yang menunjukkan mereka sudah disatukan. Entah apa tujuannya, Zhafran tidak mengerti. Tetapi, dia juga merasa bersyukur kerana tidak perlu membazirkan wang untuk bersama dengan gadis kesayangannya itu, juga untuk menunaikan amanah yang dtinggalkan oleh ibunya.
“Maafkan aku, Karim..” bisiknya.
                        *                      *                      *                      *                      *
“Betulkah Arin sanggup tinggalkan Karim untuk Zhaf?” tanya Zhafran sekali lagi semasa menjemput Qashreena pulang. Tengku Hanis mengikut langkah mereka dari belakang. Mata Tengku Zhafran melirik ke arah Karim yang  berdiri di taman berdekatan tempat letak kereta hospital. Dia sengaja memberitahu Karim tentang keadaan Qashreena. Sekurang-kurangnya terubat juga rindu temannya itu.
Melihat Tengku Zhafran seolah-olah melambai seseorang, Qashreena mengalihkan pandangannya ke arah teman. Namun, apabila melihat Qashreena menoleh ke arahnya, Karim lantas menyembunyikan diri di sebalik pokok. Dia tidak mahu melihat air mata Qashreena gugur lagi.
“Reen, Arin tak jawab lagi soalan Zhaf tadi. Arin cari apa kat sana?” tanya Zhafran lagi. Tangannya menyeluk poket mencari kunci kereta.
“Zhaf, biar Arin naik dengan Zhaf sajalah. Ibu Ngah pulang dulu, ya? Jangan pandu laju sangat.” ujar Tengku Hanis. Zhafran mengangguk lantas membukakan pintu untuk Qashreena. Melihat ibunya berlalu pergi, Qashreena hanya mampu menurut apabila Zhafran menyuruhnya naik.
“Janganlah segan dengan Zhaf. Macam tak biasa saja. Duduk elok-elok, ya. Kereta Zhaf ni kecil saja. Ayah dah tak bagi bawa kereta besar lagi. Asyik nak berlanggar saja. Atau, Reen takut? Zhaf dah makan ubat pagi tadi. Insya-ALLAH tak ada apa-apa,” ujar Zhafran.
                        *                      *                      *                      *                      *
“Arin, janganlah degil macam ni. Arin kena terima semua ni. Lagipun, bukankah Reen yang nak semua ni dulu..” pujuk Tengku Hanis. Qashrena enggan berkata-kata lagi walau sepatah pun. Pesanan pengiring Zhafran sebentar tadi mencengkam dirinya.
Setelah dia membuang segala perasaannya terhadap Karim untuk menunaikan wasiat Tengku Qistina, akhirnya segalanya harus jadi berantakan seperti ini. Dia sudah mula memekarkan cintanya terhadap Zhafran, sepupunya sendiri, dan ini balasannya. Segalanya seperti sia-sia saja.
“Arin, maafkan Zhaf. Zhaf tak sempat hidup bersama Arin. Zhaf harap Reen duduk elok-elok dengan Karim. Jangan menangis, Reen. Maafkan Zhaf,,”
Suara itu bergema lagi di mindanya. Qashreena bagai tidak percaya apa yang didengarnya.
Karim terpana mendengar perkhabaran itu.
“Zhafran..”
 Matanya hala keluar.
“Mengapa ini semua harus terjadi? Aku baru hendak tumpang gembira dengan pernikahan sahabatku biarpun cintaku untuk Qashrena belum luput. Apakah ini memang jalan takdirku?”
Matanya dialihkan menentang mata Raja Hakimi. Mata itu seolah-olah memberitahu agar mereka meneruskan sahaja majlis itu. Tentang Zhafran, akan difikirkan kemudian. Insya-ALLAH, dia akan selamat. Hanya doa yang mampu mereka titipkan.
“Ayah,” panggil Qashreena. Raja Hakimi menoleh.
“Tak payah bersanding, ya?” pinta Qashreena. Hakimi terpaku seketika. Kemudian, dia mengangguk setuju.
“Terima kasih, ayah,” bisik Qashreena. Dia memandang Karim. Senyuman hambar terukir.
                        *                      *                      *                      *                      *
Tanah mula dimasukkan kembali ke liang lahad. Segalanya suram dan sunyi. Tengku Hadi tidak dapat menahan sebak. Tengku Hanis memeluk abang kembarnya, cuba memujuk.
“Hadi dah tak ada siapa-siapa lagi, Nis,” ujarnya hiba.
“Nis kan ada,”
“Tak sama dengan Qis dan Zhaf.” desisnya. Hanis diam, cuba mengerti perasaan Hadi. Karim dan Qashreena sekadar memerhati dari jauh. Tarikh perkahwinan mereka yang terpahat pada batu nisan itu membuatkan masing-masing berjanji untuk tidak meraikannya. Zhafran disahkan meninggal dunia pada malam pernikahan mereka.
Setelah segalanya selesai dan talkin dibacakan, mereka meninggalkan kawasan tanah perkuburan itu. Tengku Hadi menjadi orang terakhir di situ. Dia duduk seketika memerhati tanah kubur yang masih memerah di samping makam isterinya sendiri yang baru dibersihkannya minggu lepas. Seperti kedengaran suara Zhafran berbisik, doakan kami, ayah.. Akhirnya dia bangkit setelah dipujuk oleh Hanis, satu-satunya saudara sedarah yang dia miliki.