Saturday, October 16, 2010

Hambar

Semuanya terasa hambar sekarang. Semuanya sekali. Inilah yang aku panggil sindrom hujung semester. Bila sumber kewangan sudah mula menipis, dan ditambah dengan tekanan peperiksaan yang mendekat, perut yang selalu akan terasa lapar walaupun baru saja selesai makan dengan sangat banyak.

 

Ya, sindrom hujung semester. Dua kali setahun sindrom ini akan melanda para pelajar IPT walaupun bukan semua. Lebih parah kalau sindrom hujung semester datang bersamaan dengan bekalan air yang teruk dan sakit demam peperiksaan atau demam biasa. [Air di Perlis sudah berwarna tanah. Keruh dan sedikit kemerahan kerana bercampur warna karat. Aku jadi demam kerana minum air itu. Apa boleh buat..]

 

Dan semua semakin hambar; bila dua-dua telefon genggam cuba buat hal. Yang satu bisu, yang satu lagi hang tak bersebab. Mesej yang masuk pun cuma mesej-mesej dari Mukabuku. Ya, aku sunyi di dunia realiti. Hampir hilang sebenarnya.

 

Dan bagi blogger tegar seperti aku yang terpaksa guna WLW setiap kali terasa hendak mengemaskini blog sebab broadband sudah dipotong dan sengaja dibiarkan kerana kononnya hendak ulangkaji. Hambar, bila tidak dapat melihat siapa yang membalas entri-entri mengarut aku. Hambar, bila tidak dapat berhubung dengan adik-adik, kakak dan abang maya aku.

 

Dan cinta maya aku juga semakin sunyi nampak gayanya. Yalah, hujung tahun seperti ini dia harus selalu mengemaskini maklumat di blog-blog pelancongannya [Lebih 50 blog katanya]. Ah, nanti aku akan ke sana juga. Sudah lama tidak menjenguk pantai timur. Seingat aku sudah hampir empat tahun. Terakhir kali aku ke sana sewaktu Malaysia dihangatkan dengan kehadiran MyTeam. Aku masih ingat ayah bawa kami menonton MyTeam lawan Malaysia di sebuah warung tepi jalan di Kelantan; dan aku makan membelakangi televisyen.

 

Ya, aku bukan manusia yang menonton perlawanan bola sepak. Hanya satu perlawanan yang benar-benar aku pernah tonton dengan penuh rasa bosan kerana malam itu ternyata adalah pesta  melayangkan kad; perlawanan akhir piala dunia 2010 – dan aku menonton dalam bahasa Sepanyol, sekadar menemankan seorang [bekas] teman baik maya aku.

 

Hambar. Dunia aku hambar dengan hitam putih kertas peperiksaan lampau. Aish! Esok aku ke pustaka sajalah kalau begini. Selepas tamat test Statistik dan peperiksaan akhir HPD132 aka Pemikiran Mahathir. [Aku pilih subjek ini kerana aku bukan manusia berstamina tinggi. Duduk di tengah-tengah kelas dan layari internet di hadapan pensyarah adalah hobi aku dalam kelas kokurikulum. Titik.]

No comments: