Aku hanya gadis biasa. Tidak punya kecantikan mengalahkan purnama berkembang. Tiada bentuk tubuh menggiurkan yang perlu aku pamerkan kepada orang yang tak punya hak.
Aku tak minta untuk jadi kaya, cukup sekadar makan mengisi perut dan mampu berjalan merentas alam diiring takdir.
Aku tak minta untuk jadi cantik, cukup Allah kurniakan apa yang ada padaku untuk diriku.
Aku tak minta untuk jadi pandai. Sememangnya sudah pernah aku mengecap kejayaan dan sekarang mungkin giliran teman-temanku pula.
Aku tak ingin jadi pujaan. Sekadar menyendiri dalam taman kitab cukup untuk aku merasakan bahagia. Seperti kata seorang teman, lokasi bulan madu yang terbaik untukku [dan untuk dia juga] adalah Popular atau MPH.
Impian seumur hidup aku adalah untuk memiliki perpustakaan sendiri. Jadi untuk menampung impian itu, aku telah persiapkan pelan sebuah kedai besar yang dilengkapi perpustakaan, kafe siber dan kafe dalam satu bangunan.
Rumah idaman aku adalah sebuah studio apartmen yang dipenuhi rak buku. Semua bukunya ditukar setiap kali aku habis membacanya dengan stok terbaru dari kedai [yang aku sebutkan di atas].
Lelaki yang aku damba untuk menjadi suamiku adalah seorang lelaki yang sederhana dan bertanggungjawab. Dia tidak meminta dariku melainkan yang aku mampu sediakan dan dia tidak melebihkan aku daripada ibunya. Juga tidak memaksa aku kerana aku tidak mampu untuk menepis paksaan.
Aku gadis yang lembut dalam kekasaranku.
Titis air mata memang temanku. Sekiranya kamu tidak melihatnya di mataku maka aku sedang menangis di dalam hatiku.
Aku sekadar gadis biasa yang menjalani takdir Tuhanku yang telah tersurat sebelum hari kelahiranku.
No comments:
Post a Comment