Tuesday, August 17, 2010

Alamak! Terlebih sudah! [Entri hampir dua bulan lalu]

Eh, macam kenal ayat tu! Ya, terlebih sudah download limit broadband Celcom. Dan dalam offline mode selama beberapa hari sehingga pulang ke kampus (atau sehingga berjaya menghubungi Celcom untuk tambah download limit. RM5/gb.).

Bercakap tentang kampus mengingatkan nis pada tiket yang belum dibeli. Mungkin malam ini ayah ke stesen tren menghantar barang orang. Ah, beli di sana sajalah.

Barang-barang ada yang masih belum disimpan. Mungkin tidak mengapa. Masih ada 5 hari lagi untuk menyimpan barang.

Adik sudah di kampus. Sudah tiga hari dia di sana. Malas mengganggu, mungkin dia sibuk.

*

Aku tahu kau kecewa; aku juga pernah. Tapi aku tak putus asa, walau terhalang segala. Paling tidak kulihat hasilnya. Ya, sebuah sajak dan sebuah cerpen yang tanpa restu. Sudah dapat hasilnya baru mereka tahu siapa aku.

Dulu duniaku tertutup kabus, makin lama makin tebal; dan aku merangkak dalam gelap. Sedikit-sedikit hilang, kemudian bertambah tebal; dan kau fikir aku mengalah?

Aku bukan aku; bukan aku yang sekarang kalau tidak kerana rebah itu. Tapi, teman, kau sendiri tahu, masih bukan mudah melangkah. Kita sama tahu, masa depan jauh tidak selangkah. Tak mungkin sekadar itu aku mengalah; dan aku mahu kau kuat, paling tidak seperti aku. Memulakan dari bawah, dan bermain dari belakang; untuk nanti duduk di hadapan.

Dunia ini tidak mudah. Tidak mudah, kawan. Aku tahu kau tertawa. Tertawalah, jadilah sinis. Tapi aku tidak gila. Aku tahu, kau tahu; realiti hidup kita berbeza. Tapi kecewa tak akan buat kita selesa.

Di hadapan usia baru angka dua, dan di belakang sama-sama sifar. Zaman kita sama, haluan kita sama; hanya aku dan kamu tidak bertemu.

Apa kerana itu, lalu kamu kata aku tidak tahu perasaan terasing dan terbelenggu?

Penjara diri itu, penjara paling seksa dalam hidup; dan kamu hanya terbelenggu oleh kamu. Oleh perasaan kamu. Oleh kecewa kamu.

Terbaik aku mahukan dari kamu, hanya tinggalkan penjara diri itu. Cukuplah terbelenggu. Kerana yang membelenggu itu hanya kamu. Dan dari situ harus mula melangkah.

Jalan hadapan masih panjang. Masih ada cahaya meski tertutup awan.

Oh, ya. Catatan itu masih kusimpan. Sampai nanti aku tunjukkan. Jangan fikir aku akan buang. Kerana itulah sebenarnya penghalang semangat.

Kamu lagi cerdik daripada aku. Lagi banyak pandai daripada aku. Jangan biarkan fikiran itu mencantas kamu, hingga nantinya kamu jadi lebih hina dari ... [Aku tak tahu apa yang hina pada kamu, jadi isilah sendiri.]

 

(Catatan ini kini hanya tinggal kenangan, dan ingatan buat aku. Aku kira dia tak akan sama sekali membaca ini selepas tragedi itu.)

*

kelip-kelip disangka api

kalau api mana puntungnya

hilang ghaib disangka mati

kalau mati mana kuburnya

Nanti kita jumpa lagi.

No comments: