Monday, August 30, 2010

Tanpa Sempadan : Perihal 2



“Siapkan semua yang tertulis di sini,” arah Fadzli.

“Yang lama bagaimana?”

“Belum pernah lagi hamba mungkir. Siapkan saja. Nanti bila tiba masanya semuanya akan terlunas,”

Touya merenung lagi helaian yang diberikan oleh Fadzli.

“Apa yang tidak kena?” tanya Fadzli. Suaranya datar sahaja.

“Hamba tidak punya dana untuk menyiapkan semua ini jika tuan hamba tidak membayarnya sekarang,”

“Sekadar kekurangan dana senang sahaja. Esok petang kita selesaikan,”

“Yang ini sekali?”

“Tidak. Bukan yang ini, hanya yang lepas-lepas. Yang ini siapkan dahulu,”

Fadzli meninggalkan ruang kerja Touya yang hangat.

Ichi mendekat.

“Sediakan bahan-bahannya,” arah Touya.

Ichi mengangguk dan masuk kembali ke kamar kecil di sebelah ruang relau yang panas membara itu.

*

Ruangan itu lengang. Tidak seorang manusia pun ada di situ. Barangkali kerana malam sudah terlalu larut. Hanya desir angin berbisik, diselangi bunyi air menitis dari bucu-bucu atap. Tanah basah dan lecak di sana sini, tanda hujan baru berhenti.

Bunyi tapak kaki terdengar samar-samar ditutupi dek kain mencecah lantai. Setelah sang permaisuri tiba barulah Fadzli memunculkan diri.

“Apa yang kamu mahukan?”

“Belanja untuk perbekalan di gelanggang tidak mencukupi. Patik mohon kalau boleh ditambah segera. Si pandai besi sudah menuntut bayaran,”

“Esok sahaja boleh, bukan? Tidak perlulah membazirkan waktu di sini,”

“Ampunkan patik, Tuanku. Kekangan masa memaksa patik ke mari sekarang. Pagi-pagi besok ada tugas yang terpaksa patik laksanakan, dan si pandai besi itu pasti akan melambat-lambatkan waktu kalau patik terlambat membayar,”

“Lambat atau cepat, kita tetap membayar, bukan? Apa masalahnya?”

“Dia juga berkata begitu pada patik. Lambat atau cepat, dia tetap menyiapkan tugasnya,”

“Tangkap sahajalah,”

“Ah, Tuanku Permaisuri. Kalau dia ditangkap, siapa pula yang akan kita kerah membuat senjata nanti?”

Fida terdiam dibuatnya.

“Jadi, bagaimana?”

“Ini sahaja yang beta bawa sekarang. Cukup?” tanya Fida seraya menyerahkan bungkusan kain berisi wang kepada Fadzli.

“Sepertinya cukup,” balas Fadzli.

“Kalau tidak cukup, lain kali sahaja beta beri. Pergi sekarang, sebelum ada orang yang mengesyaki,”

*

Kelalang di hadapannya diisi dengan cecair-cecair berwarna. Beberapa buah botol kecil tersusun rapi di rak di sebelah kanan. Di bahagian kiri bilik itu pula terdapat sebuah almari berlaci banyak berisikan serbuk-serbuk pelbagai jenis.

Kedengaran ketukan di pintu. Ichi segera meninggalkan meja kerjanya.

“Ini wang untuk perbelanjaan minggu ini. Kita diberi tempoh dua minggu untuk selesaikan tugas kita,”

Ichi mengambil bungkusan kecil yang diletakkan oleh Touya di atas almari berlaci dan menyimpannya di sudut bilik. Kedengaran kekecohan dari ruang relau. Ichi mengunci pintu kamarnya dan mengintai melalui lubang kecil di tepi pintu.

Ruangan bertutup berbentuk empat segi dari kaca jernih ditarik ke bawah dan dikunci ke lantai.Di atas kotak kaca itu, Ichi meletakkan sebuah lagi kotak yang diperbuat daripada kayu dan menutupinya dengan kain. Kemudian, Ichi membuka pintu kamar dan keluar menemui Touya.

Ada apa?” tanya Ichi dengan bahasa isyarat.

“Orang-orang Fadzli,” balas Touya. Dia baru sahaja menutup pintu kedai kecil miliknya. Terasa ruangan itu lebih hangat daripada kebiasaan akibat haba yang terperangkap.

Apa mereka mahu?”

“Ah, biasalah. Bukan kau tidak kenal Fadzli. Kalau seorang yang bersalah pun, dia akan buat kecoh seluruh wilayah,”

Ichi menggelengkan kepala.

Mengganggu saja,” gerutu Ichi.

No comments: