Monday, August 16, 2010

Perihal Cinta Ep 20 | Saya Tahu Saya Siapa

Diedit dari sini.

Awak,
saya tahu saya siapa.

Saya tak layak bercinta. Saya tahu, cinta sekarang ni bukan macam dulu. Semuanya sekarang perlukan wang, walaupun semudah bercinta. Cakaplah macam mana pun tentang cinta tak mengenal harta, pangkat dan rupa. Kalau awak rasa awak percayakan semua tu lagi, awak ketinggalan. Terlalu jauh ke belakang, awak.

Jadi, tolong jangan ajar saya erti cinta dicintai.

Nak sentiasa berhubung? Nanti awak bosan, awak salahkan saya. Awak dah sedia maklum saya ni "kayu". Kata-kata saya, kata-kata biasa semata; lepas tu awak kata saya membosankan. Siapa yang suruh awak layan?

Memang salah saya sebab saya cari awak dulu. Tipulah kalau saya kata saya tak bersalah, kalau saya tak kasihan bila tengok awak kesunyian. Tapi masa saya sunyi, ada awak buat benda yang sama pada saya?

Susah senang semuanya saya tanggung sendiri.

Saya memang bukan dari kalangan orang yang kuat mengadu. Bukan sebab saya tak mahu susahkan orang, tapi sebab saya memang seorang yang lemah. Sangat lemah.

Kalau awak nak tahu sangat kenapa saya jadi "kayu", biar saya beritahu.

Saya ni cuma manusia miskin. Miskin harta. Miskin rupa. Miskin dunia. Akhirat? Biarlah Dia yang tentukan.

Miskin-miskin saya pun, saya tak pernah mohon pun untuk jadi penerima zakat. Saya mahu bekerja, malangnya saya tak dibenarkan kerja. Kalau saya langgar peraturan, nyawa ayah saya yang melayang disebabkan penyakit jantungnya. Sakit-sakit ayah pun, ayahlah yang berikan saya wang belanja setiap bulan. Kredit telefon saya, lebih baik saya gunakan untuk bertanyakan khabar ayah. Memang awak bukan orang pertama yang saya hubungi setiap kali saya tambah nilai.

Saya tahu awak pandai, awak belajar sampai ke menara gading. Saya tak akan dapat ijazah atau diploma macam awak. Saya bukan siapa-siapa. Bak kata makhluk yang menuhankan ijazah dan diploma, boleh jalanlah!

Lagi satu, saya bukan tuhan. Saya tak mampu berada di banyak tempat dalam satu masa. Mata saya dua, tak dapat melihat segalanya. telinga saya pun tak sejauh mana had pendengarannya, macam talian internet yang sedang lembab ini.

Awak nak salahkan saya sebab tak tanya khabar, saya terima. Saya sudah beritahu sejak awal yang saya tak akan tanya selalu, sebab saya tahu awak sibuk. Awak pun perlu tahu, saya juga ada dunia saya sendiri.

Saya pasti tak ada orang yang faham situasi saya. Saya sendiri anggap diri saya 'pelik'.

Saya bukan tak menghargai peluang-peluang yang awak beri. Ruang dan masa jadi penghalang antara kita. Kalaulah ada kerja di dunia ini menjadi pencinta, setiap bulan dapat gaji, tak mungkin saya lepaskan, awak. Dan saya tak harapkan satu sen pun dari awak. Awak ingat saya tak tahu berapa banyak yang awak dah keluarkan untuk hubungan ni? Saya pun belajar matematik, awak. Add Math saya lulus masa SPM dulu. Saya bukan bodoh, hanya nasib tidak berpihak kepada saya.

Kalau awak mahu tahu apa yang saya mahukan, saya harap awak bersabar sedikit. Tak lama, awak. Saya tak terniat pun mainkan awak. Kalau saya main-main, tak mungkin awak akan saya layan sejak kali pertama saya putus cinta. Itu bukan saya.

Tapi sekarang, awak boleh pergi. Buat apa awak bazirkan duit awak untuk saya lagi? Biarkan saya di sini. Saya menanti, dan akan terus menunggu.

NotaBuku:
1. Menyentuh dan tersentuh.
2. Entri diedit demi menjaga format blog, tapi masih dalam susunan asal.
3. Terima kasih kepada Syahid van Abdullah.

No comments: