Wednesday, August 25, 2010

Perihal Cinta Ep 29

aku nampak kamu berjalan sendiri kelmarin. ya, selepas lebih sebulan tidak nampak bayang langsung. aduhai. tiang di hadapan hampir terlanggar. sipi sahaja lagi aku bakal jadi bualan orang. ya, mungkin jadi gadis pertama melanggar tiang tengah jalan berdekatan tandas di sebelah LT2. tiang itu, yang terpacak di tengah jalan. yang semua orang maklum kewujudannya.

aku tak tahu apa persepsi kamu terhadap aku. tapi aku tahu aku ada merasakan sesuatu terhadap kamu. sejak pertama kita berbicara, aku rasakan ada sesuatu membuat aku selalu mencari kamu. tika itu aku duduk, kamu berdiri. tika itu aku menjual, kamu membeli. tika itu.. aku masih berdiam diri.

kamu sering menemankan aku waktu kedai kosong. hanya ketika itu. hanya ketika kita berdua di situ, bukan waktu aku ada teman setugas. kamu berbual dengan aku tentang minyak wangi yang kamu jual, dan tentang lagu nasyid yang aku kumandangkan dari Mr Lappy kesayangan aku setelah penat memutar lagu nasyid dari CD milik kedai. aku ingat aku catat apa yang kamu katakan saat itu. tiga lagu yang kamu suka dengar. tapi aku tidak ingat apa. masih ada lagi, barangkali, dalam diari aku sepanjang tahun lalu.

kamu suka bergurau denganku tentang harga barang di kedai yang aku jaga. kononnya kamu mahu bayar kurang, kemudian kamu berkata lagi kamu mahu bayar lebih dari yang patut, sedangkan aku hanya menurut apa yang pada label harga. tidak lebih dan tidak kurang. ada saja bidasanmu terhadap jawapanku. ada saja soalanmu demi untuk membuatkan aku bersuara.

ya, gadis senyap seperti aku, yang hanya menjerit di dunia maya ini, bisa kamu ajak berbicara. sesuatu yang jarang sekali aku lakukan di alam realiti hidup aku. berbicara. hebat sekali kamu.

ya, aku memang mencari kelibat kamu. kerana aku dapat merasakan setiap kali kamu ada berdekatan.

dari usai membaca Salju Sakinah karya saudara Zaid Akhtar, aku hanya menggelarkan kamu Naufal; kerana aku tak pernah berani bertanyakan nama kamu. ya, dan nampaknya panggilan Naufal itu cocok denganmu.

hampir setahun mengenali kamu, baru aku tahu nama kamu. itu pun secara kebetulan kerana kita ditempatkan di bilik ujian yang sama ketika itu, dan kita menunggu di pondok yang sama. kebetulan kamu duduk di sebelah aku yang sedang mentelaah kertas Calculus II untuk terakhir kali sebelum masuk ke bilik peperiksaan.

aku sebenarnya masih bingung mahu tertawa atau mahu apa ketika kamu menawarkan air (yang aku rasa kamu tahu pasti aku akan menolaknya) kepada aku. kelakar itu sudah jadi penawar sepi aku. aku akan tertawa atas setiap benda yang berlaku meski ia membunuh aku dari dalam.

dan dalam waktu lima minit terakhir itu aku menemukan namamu. Shukri. itu sahaja yang aku benar pasti tentang kamu.

aku tahu kamu mungkin tidak akan tahu sama sekali tentang ini, tapi paling tidak aku menyatakan apa yang aku rasa walau tidak ada siapa yang sebenarnya tahu siapa Naufal di hati aku.

entah siapa pula Sumayyah kamu.

NotaBuku:
Ya, aku memilih nombor 29 untuk entri ini.

No comments: