Showing posts with label Tanpa Sempadan. Show all posts
Showing posts with label Tanpa Sempadan. Show all posts
Tuesday, August 31, 2010
Tanpa Sempadan : Perihal 3
Fareda dan Mijae, dua sahabat yang tinggal berjiran. Persahabatan mereka berlangsung baik sejak kecil. Dari perkara paling rumit ke hal paling remeh, masing-masing sudah terlalu kenal hati budi satu sama lain. Bagaikan satu jiwa dalam dua jasad. Namun sesekali masih berlaku perbalahan antara mereka.
"Benarkah guru itu tinggal di perbatasan wilayah?" tanya Fareda.
"Hamba pasti dia memang tinggal di sana. Dari cakap-cakap orang. Malah tuan guru juga membenarkan kata-kata mereka. Tidakkah tuan hamba percayakan hamba?"
"Bukan tidak percaya. Cuma khawatir. Kita ini masing-masing anak tunggal harapan keluarga. Apa yang akan berlaku kepada ayah dan bunda kita jika kita tidak pulang-pulang?"
"Hamba berjanji, setiap ada kesempatan, kita akan pulang ke mari. Lagipun bukannya kita hendak berjalan jauh. Hanya ke perbatasan sana,"
"Seperkara lagi, Mijae,"
"Apa dia?"
"Bukankah tidak manis dilihat orang, anak teruna dan anak dara berjalan berdua sahaja?"
"Kita ajak Harmira bersama, pasti dia mahu. Mustahil tuan guru tidak benarkan anaknya pergi bersama kita," cadang Mijae.
Fareda mengeluh kecil.
“Mengapa mengeluh?” tanya Mijae.
“Tidak ada apa-apa. Hamba masuk dahulu. Masih ada yang perlu diusaikan sebelum matari turun,” balas Fareda. Dia meninggalkan Mijae di laman rumahnya.
Mijae berlalu setelah Fareda hilang dari pandangan.
“Apa yang difikirkan, Fareda?” tanya Nara.
“Bunda,” bisik Fareda.
“Katakan saja, Fareda. Biar bunda mengerti,”
Fareda masih enggan bersuara. Hanya riak matanya seolah cuba berkata-kata. Agak lama Nara dan Fareda berbicara dalam bisu.
“Susah benar menelah hatimu, anakku. Tapi bunda melihat cinta dari sinar matamu,”
Mendengar itu, Fareda tertunduk.
“Benar, bukan?”
Masih tiada balasan.
“Mijae itu anaknya baik. Tingkahnya menyenangkan. Kalau terlambat, bisa-bisa saja kau hilang peluang,”
“Tapi, bagaimana caranya hingga hamba bisa membicarakan soal hati dengan Mijae? Memandangnya sahaja sudah menjadi begitu sukar sekarang,”
“Kalau kau mahu, biar bunda yang ke sana,”
“Aduhai, bunda. Terasa rendahnya diri ini hingga terpaksa dijaja ke rumah si teruna,” balas Fareda. Nara menggeleng tidak mengerti.
*
Perbekalan sudah dipersiap. Yang tinggal, tinggal. Yang pergi mulai berangkat. Dalam perjalanan yang jauh di sebuah wilayah bergelar Gelora Bayu, terlihat susuk tubuh dua orang gadis ditemani sahabat mereka jejaka satu-satunya.
Terik mentari membara membakar tubuh-tubuh mereka.
"Sehangat ini sahaja sudah tidak tahan, bagaimana mahu menjalani pengajian?" tanya Fareda. Mijae membisu. Wajahnya tertunduk. Ternyata temannya itu mengerti apa yang dirasainya.
"Tidaklah, Fareda. Bukan hangat ini yang meresahkan hamba," kata Mijae kemudiannya. Barangkali menutup perasaan malu mendengar kata-kata Fareda sebelumnya.
"Jadi apa?" Harmira pula mula bersuara. Sejak memulakan perjalanan tadi, baru itu kata-kata yang keluar dari bibirnya.
"Hangatnya tidak terasa di kulit, tidak ternampak di mata, tetapi terbakar hangus di hati hamba,"
Fareda segera mendiam, membiarkan Mijae dan Harmira berbicara. Langkahnya diteruskan lebih pantas.
"Maksud tuan hamba?"
"Hati hamba ini sudah lama terbakar, Mira. Baranya masih ada memakan dari dalam hari demi hari, tetapi yang empunya tubuh masih belum mahu mendengar. Malah lari setiap kali hamba mahu menyuarakan isi rasa,"
"Siapakah agaknya gerangan? Bertuah benar dia, mendapat cebisan hati tuan hamba yang mahal segunung emas,"
Mijae hanya tersenyum pahit.
*
Senja mula berlabuh di kala mereka tiba di hutan yang menandakan sempadan Gelora Bayu. Aliran air dari anak sungai memecah suasana.
"Di sini?" tanya Fareda.
Mijae mengangguk antara pasti dan tidak.
Harmira melangkah lebih jauh ke hadapan.
"Mira.."
"Ikut sahajalah, Mijae," balas Harmira.
Tidak lama kemudian, mereka melihat sebuah pondok yang terjaga rapi. Pondok itu terletak di sebuah tanah lapang, dikelilingi pohon-pohon yang tinggi melangit.
"Mari," ajak Mijae. Kali ini dia yang di hadapan. Fareda masih memerhati keadaan sekitar. Remang senja kian kelam.
"Sampai juga kalian ke mari,"
Kata-kata itu menghentikan langkah mereka.
"Tuan guru, kami datang dari jauh, ingin menuntut pada tuan guru," kata Mijae.
"Naiklah ke atas. Mira, tunjukkan arah pada mereka," arah Syariff.
Mijae dan Fareda memandang Harmira dengan rasa tidak percaya. Harmira melangkah mendekati lelaki itu dan menyalaminya.
"Ayah berkirim salam, dan ada barang buat paman," kata Harmira.
Syariff menyambut bungkusan yang dihulurkan oleh Harmira sebelum masuk ke dalam pondok.
"Guru Syariff masih pamanku. Abang paling sulung dari ayahku. Ayahku yang paling bongsu," Harmira menjelaskan.
"Patutlah hamba lihat tuan hamba tenang sahaja sepanjang jalan. Kenapa tuan hamba tidak khabarkan sejak mula?"
“Kerana tuan hamba tidak bertanya,” balas Harmira.
Fareda tertawa kecil.
Mijae mendengus. Panas hatinya diperlakukan seperti itu.
Monday, August 30, 2010
Tanpa Sempadan : Perihal 2
“Siapkan semua yang tertulis di sini,” arah Fadzli.
“Yang lama bagaimana?”
“Belum pernah lagi hamba mungkir. Siapkan saja. Nanti bila tiba masanya semuanya akan terlunas,”
Touya merenung lagi helaian yang diberikan oleh Fadzli.
“Apa yang tidak kena?” tanya Fadzli. Suaranya datar sahaja.
“Hamba tidak punya dana untuk menyiapkan semua ini jika tuan hamba tidak membayarnya sekarang,”
“Sekadar kekurangan dana senang sahaja. Esok petang kita selesaikan,”
“Yang ini sekali?”
“Tidak. Bukan yang ini, hanya yang lepas-lepas. Yang ini siapkan dahulu,”
Fadzli meninggalkan ruang kerja Touya yang hangat.
Ichi mendekat.
“Sediakan bahan-bahannya,” arah Touya.
Ichi mengangguk dan masuk kembali ke kamar kecil di sebelah ruang relau yang panas membara itu.
*
Ruangan itu lengang. Tidak seorang manusia pun ada di situ. Barangkali kerana malam sudah terlalu larut. Hanya desir angin berbisik, diselangi bunyi air menitis dari bucu-bucu atap. Tanah basah dan lecak di sana sini, tanda hujan baru berhenti.
Bunyi tapak kaki terdengar samar-samar ditutupi dek kain mencecah lantai. Setelah sang permaisuri tiba barulah Fadzli memunculkan diri.
“Apa yang kamu mahukan?”
“Belanja untuk perbekalan di gelanggang tidak mencukupi. Patik mohon kalau boleh ditambah segera. Si pandai besi sudah menuntut bayaran,”
“Esok sahaja boleh, bukan? Tidak perlulah membazirkan waktu di sini,”
“Ampunkan patik, Tuanku. Kekangan masa memaksa patik ke mari sekarang. Pagi-pagi besok ada tugas yang terpaksa patik laksanakan, dan si pandai besi itu pasti akan melambat-lambatkan waktu kalau patik terlambat membayar,”
“Lambat atau cepat, kita tetap membayar, bukan? Apa masalahnya?”
“Dia juga berkata begitu pada patik. Lambat atau cepat, dia tetap menyiapkan tugasnya,”
“Tangkap sahajalah,”
“Ah, Tuanku Permaisuri. Kalau dia ditangkap, siapa pula yang akan kita kerah membuat senjata nanti?”
Fida terdiam dibuatnya.
“Jadi, bagaimana?”
“Ini sahaja yang beta bawa sekarang. Cukup?” tanya Fida seraya menyerahkan bungkusan kain berisi wang kepada Fadzli.
“Sepertinya cukup,” balas Fadzli.
“Kalau tidak cukup, lain kali sahaja beta beri. Pergi sekarang, sebelum ada orang yang mengesyaki,”
*
Kelalang di hadapannya diisi dengan cecair-cecair berwarna. Beberapa buah botol kecil tersusun rapi di rak di sebelah kanan. Di bahagian kiri bilik itu pula terdapat sebuah almari berlaci banyak berisikan serbuk-serbuk pelbagai jenis.
Kedengaran ketukan di pintu. Ichi segera meninggalkan meja kerjanya.
“Ini wang untuk perbelanjaan minggu ini. Kita diberi tempoh dua minggu untuk selesaikan tugas kita,”
Ichi mengambil bungkusan kecil yang diletakkan oleh Touya di atas almari berlaci dan menyimpannya di sudut bilik. Kedengaran kekecohan dari ruang relau. Ichi mengunci pintu kamarnya dan mengintai melalui lubang kecil di tepi pintu.
Ruangan bertutup berbentuk empat segi dari kaca jernih ditarik ke bawah dan dikunci ke lantai.Di atas kotak kaca itu, Ichi meletakkan sebuah lagi kotak yang diperbuat daripada kayu dan menutupinya dengan kain. Kemudian, Ichi membuka pintu kamar dan keluar menemui Touya.
“Ada apa?” tanya Ichi dengan bahasa isyarat.
“Orang-orang Fadzli,” balas Touya. Dia baru sahaja menutup pintu kedai kecil miliknya. Terasa ruangan itu lebih hangat daripada kebiasaan akibat haba yang terperangkap.
“Apa mereka mahu?”
“Ah, biasalah. Bukan kau tidak kenal Fadzli. Kalau seorang yang bersalah pun, dia akan buat kecoh seluruh wilayah,”
Ichi menggelengkan kepala.
“Mengganggu saja,” gerutu Ichi.
Sunday, August 29, 2010
Tanpa Sempadan: Perihal 1
Adeeb mundar-mandir di hadapan pintu gerbang istana yang megah itu. Orang yang dinantinya belum tiba lagi. Beberapa kali dia mengerling ke arah jalan yang sunyi sejak tadi. Laluan yang gelap-gelap suram itu membuatkan dia bertambah gelisah.
Deruan angin seolah-olah terhenti seketika. Suasana masih sepi. Adeeb memasang telinga. Kebimbangannya memuncak. Jamung yang diikat pada sebatang kayu yang terpacak di sisinya diambil.
“Kanda,” terdengar desir suara separuh bisikan.
Adeeb menarik nafas lega. Tubuh gadis itu dipeluk erat.
“Kanda fikir dinda ditahan lagi malam ini. Kenapa lewat benar?”
“Hampir-hampir saja, kanda. Mujur Tuanku Putra datang tadi,” adu Aleeya. Sedunya masih terdengar dari suaranya yang halus. Hampir-hampir tidak terdengar dalam gema alam.
“Ayuh kita pulang,” ajak Adeeb.
Mereka berjalan beriringan ke arah salah sebuah rumah yang terletak di luar kawasan istana itu. Beberapa kali Aleeya hampir terjatuh tetapi sempat disambut oleh Adeeb.
Pintu dibuka. Adeeb meletakkan jamung di tempat yang sudah disediakan di hadapan rumah kecil mereka. Aleeya terus masuk ke dapur dan membawakan air buat kekandanya.
“Apa lagi yang dilakukan perempuan itu malam ini?” tanya Adeeb. Wajah Aleeya ditenung dalam-dalam.
“Biarkanlah, kanda. Dia punya hak. Kita cuma orang suruhannya sahaja. Dinda yang salah. Lain yang disuruhnya, lain yang dinda buat,”
“Apa lagi yang dia tidak puas hati? Dia dapat dayang istana yang terbaik sebagai pembantu, bukannya calang-calang,” getus Adeeb.
“Kanda jangan jumpa dia lagi. Tolonglah, kanda. Nanti teruk kanda dikerjakan oleh Fadzli,” rayu Aleeya.
“Habis, dinda mahu kanda biarkan saja perempuan kurang akal itu pukul dinda setiap malam? Kanda suruh dinda berhenti pun dinda tidak mahu. Lihat ini. Luka minggu lalu masih belum sembuh lagi, dinda. Takkan hendak ditambah lagi?” kata Adeeb seraya menyelak lengan baju Aleeya perlahan-lahan. Gelas di tangan adiknya diambil dan diletakkan di lantai.
Aleeya menggosok-gosok lengannya yang masih terlihat segaris luka.
Adeeb mengangkat wajah Aleeya supaya memandangnya.
“Apa yang dinda cari sebenarnya?” tanya Adeeb.
“Cari apa pula, kanda?”
“Ada sesuatu yang dinda mahukan daripada Tuanku Putra dan perempuan itu, bukan? Kanda dapat rasakannya, dinda. Kalau tidak takkanlah dinda sanggup ke sana setiap hari walaupun dinda tahu dinda akan pulang setiap malam dengan tubuh lebam-lebam dan luka di sana-sini,”
Aleeya tidak membalas. Wajahnya berkerut menahan pedih apabila Adeeb menitiskan air di atas kesan luka di lengannya.
“Ini pun mujur tidak sampai ke sini, kalau tidak di mana kanda mahu cari ganti dinda kanda yang satu-satunya ini?” getus Adeeb sambil menekan jarinya pada urat nadi di lengan Aleeya. Kesan luka yang masih segar itu berhenti hampir dengan urat nadi Aleeya.
“Sudah. Pergilah berehat sana,” kata Adeeb akhirnya.
“Kanda mahu ke mana?”
“Tidak ke mana-mana,” balas Adeeb sambil menyelak pintu rumah mereka dengan kayu.
Malam itu Aleeya tertidur dalam pangkuan kekandanya.
*
“Dinda, cuba khabarkan pada kanda, apa yang menyebabkan dinda murka benar pada Dayang Aleeya? Bukankah dahulu dinda yang beria-ia benar mahu mengangkat dia sebagai pembantu peribadi dinda?”
“Kerjanya banyak benar yang khilaf. Lain yang dinda suruh, lain yang dilakukan,” adu Fida. Sedetik pun tidak terlihat rasa bersalah di wajahnya.
“Apa benar apa yang dinda perkatakan? Sepanjang pengetahuan kanda, dialah dayang yang paling sempurna tugasnya. Sebab itulah kanda lantik dia menjadi Ketua Dayang sebelum ini,”
“Itu pasti hanya untuk mengaburi mata kanda sahaja. Selepas dia dapat apa yang dia mahukan, mulalah hendak tunjuk belang,”
“Dinda, kanda mengenali Dayang Aleeya lebih lama daripada kanda kenal dinda. Kita bertemu kali pertama selepas bernikah, sedangkan Dayang Aleeya sudah kanda kenal sejak hari dia dilahirkan. Mana mungkin dia dapat menipu kanda,”
“Ah, kanda ini! Kalau fasal perempuan itu, ada-ada sahaja alasan kanda!” gerutu Fida. Kedua-dua belah tangannya yang disilangkan di hadapan dada semakin kejap.
“Kanda kirakan barangkali dinda yang tersalah bicara. Dia itu kanda lihat tekun benar melayani kerenah dinda. Dayang-dayang sebelum ini semuanya minta berhenti. Kanda jadi tertanya-tanya. Dan malam ini apa yang kanda lihat? Dinda seksa Dayang Aleeya separuh nyawa!”
Fida tergamam mendengar pernyataan Putra. Bibirnya yang memerah diketap kerana geram.
Masing-masing membisu beberapa ketika.
“Pulanglah ke kamar dinda. Biarkan kanda beradu sendirian malam ini,” titah Putra.
Fida segera meninggalkan kamar Putra. Wajahnya mencuka. Panas benar hatinya mendengar Putra membela seorang dayang. Apatah lagi dayang itu adalah Dayang Aleeya.
Putra merenung keluar melalui jendela yang masih terbuka. Kelihatan cahaya malap dari sebuah jamung yang ditegakkan di salah sebuah teratak di hadapan istana.
“Sabar benar kamu melayani permaisuri beta, Aleeya. Beruntung Mak Inang Mawar dapat puteri seperti kamu, dan kekanda kamu,” desis Putra.
Tidak lama kemudian, jamung itu dipadam dan pintu dikunci dari dalam. Menyedari malam sudah larut, Putra menutup jendela.
*
Pintu diketuk beberapa kali.
“Siapa pula yang datang mengganggu pada waktu-waktu begini?” rungut Fadzli.
Setelah pintu dibuka, ternyata seorang gadis berdiri di hadapan pintu.
“Ada apa?” tanya Fadzli.
“Ada pesanan daripada Tuanku Permaisuri untuk tuan hamba,” kata gadis itu. Nafasnya masih termengah-mengah.
“Katakan sahajalah, Aeza,”
“Tuanku Permaisuri mahu bertemu tuan hamba di tempat biasa subuh-subuh besok,”
“Ada apa-apa yang berlaku malam ini? Sepertinya kamu tergesa-gesa,”
“Tuanku Permaisuri tertangkap memukul Aleeya di kamar Tuanku Putra,”
“Bagaimana boleh tertangkap?”
“Hamba tidak tahu. Barangkali Tuanku Putra mengintip dari luar. Dayang-dayang semuanya tidak ada sewaktu Tuanku Putra tiba di kamar, melainkan Aleeya seorang,”
Fadzli diam seolah-olah sedang berfikir.
“Besok pagi-pagi tentu Adeeb datang mencari Tuanku Permaisuri,” bisik Fadzli.
Aeza menanti dengan rasa tidak sabar. Sesekali dia memandang ke sekitar, bimbang kalau-kalau ada orang yang mengekori. Jika ketahuan tertangkap oleh sesiapa, dia pasti akan dihukum oleh Fida. Kain yang menyelubung kepalanya diatur beberapa kali.
“Sampaikan pada Tuanku Permaisuri, hamba akan ke sana awal-awal pagi besok,” kata Fadzli lalu menutup pintu dengan kasar.
*
Selesai Subuh, Adeeb bermenung di persujudan. Wajah Aleeya diintip dari jauh. Gadis itu sedang menyiapkan makanan untuk mereka berdua. Tangannya pantas sekali melaksanakan tugas-tugas yang perlu disiapkan sebelum keluar dari rumah untuk menyelesaikan tanggungjawab di istana pula.
“Kanda, apa lagi yang dimenungkan?” tegur Aleeya.
Adeeb sekadar tersenyum sambil menggelengkan kepalanya.
Makanan yang disediakan oleh adindanya dijamah sedikit sementara Aleeya bersiap. Fikirannya masih menerawang.
Pintu dikunci dengan penyendal. Langkah diatur ke arah istana yang tersergam.
Sesekali terdengar hembusan nafas mereka dalam kabus yang tebal itu.
“Kanda, jangan fikirkan apa yang terjadi malam tadi lagi. Dinda tidak apa-apa,”
“Kanda tidak akan biarkan perempuan itu seksa dinda lagi,”
“Tapi nanti kanda sendiri yang menderita. Kanda sendiri tahu Tuanku Permaisuri rapat dengan Fadzli. Pasti mereka sudah siap sedia menanti kedatangan kanda. Dinda bimbang mereka melakukan sesuatu di luar jangkaan,”
“Pandailah kanda menjaga diri,” balas Adeeb.
Aleeya menghela nafas dalam-dalam. Dia sudah hampir berputus asa memujuk kekandanya supaya memaafkan sahaja perbuatan Fida terhadap dirinya.
“Hati-hati, dinda,” pesan Adeeb sebelum mereka berpisah di bawah gerbang istana.
Dari wajah tenang Aleeya, terpancar riak hiba. Setiap langkahnya membuahkan keliru.
*
Fadzli sudah sedia menanti sewaktu Fida tiba di tempat yang dijanjikan. Dua orang pembantu mereka masing-masing mengawal di luar, bimbang seandainya pertemuan itu diketahui oleh Putra.
"Cepat kamu sampai ke mari?" tegur Fida.
"Atas titah perintah Tuanku juga,"
"Kamu tahu apa yang berlaku semalam?"
"Ya, Tuanku. Aeza sudah ceritakan, tetapi hanya sebahagian,"
"Putra mengintip. Keadaan tidak selamat,"
"Tuanku tahu siapa yang punya angkara?"
"Belum lagi,"
"Tidak ada kemungkinan Adeeb yang mengadukan kepada Tuanku Putra?"
"Semalam mungkin tidak, tetapi hari ini beta lihat dia tergesa-gesa. Awal dia tiba hari ini. Sebelum Putra siap berangkat ke balairung,"
Fadzli mengangguk-angguk.
"Persiapkan gelanggang. Pertarungan baru akan bermula," titah Fida. Kemudian, Fadzli ditinggalkan bersendirian.
Tanpa Sempadan: Sebuah Kisah
Slot novel yang bakal disiarkan dalam blog ini diberi tajuk Tanpa Sempadan. Mengisahkan sebuah dunia asing dari kita. Sebuah dunia yang hanya wujud di dalam hati kita. Yang hanya ada watak-watak pemilik-pemilik blog.
Kisah ini adalah atas permintaan beberapa orang teman yang turut sama menyumbangkan idea mereka untuk memastikan kisah ini berjalan pada landasan yang mereka mahu.
Ada 80 watak utama dalam novel ini, kesemuanya adalah pemilik-pemilik blog. Perhatikan setiap nama, kemungkinan link blog anda muncul di sana. [Akan dibuat nanti.] Jika itu berlaku, bererti andalah yang mewakili watak itu.
Pilihan nama adalah mengikut kehendak penulis dan tidak dapat diubah. Beberapa nama yang hampir mirip menyukarkan penulis memilih nama yang baru untuk memastikan pembaca dapat mengenali blogger yang terbabit. Harap dimaafkan sekiranya ada nama yang tidak menepati citarasa blogger yang terlibat.
____________________
Latar Tempat:
1. Negeri Gelora Bayu
2. Negeri Segara
Latar Masa:
Bila-bila masa.
Latar Alam:
1. Kawasan lapang: Medan peperangan, laman istana
2. Hutan: Kawasan latihan, lokasi pengintipan
3. Gunung-ganang
Watak-watak utama (1)
Kisra Putra
Kleo Fida
Dayang Aleeya
Ampuan Adeeb
Kisra Kaizer
Kleo Sofiya
Puteri Nisa
Datu Zakiy
Panglima Akhmal
Panglima Mijae
Datu Fadzli
Ailiff
Qushairy
Fareda
Dayang Iszryn
Nabeel
Sarah
Misya
Jangan terburu-buru menyimpul kisah. Mungkin andaian anda tidak benar.
Kisah ini hanyalah rekaan semata-mata. Tidak ada kaitan dengan yang hidup ataupun yang telah tiada.
Kisah ini adalah atas permintaan beberapa orang teman yang turut sama menyumbangkan idea mereka untuk memastikan kisah ini berjalan pada landasan yang mereka mahu.
[Maaf, ini bukan cerita. Episod pertama akan autopublish pada 2.30 pagi.]
Ada 80 watak utama dalam novel ini, kesemuanya adalah pemilik-pemilik blog. Perhatikan setiap nama, kemungkinan link blog anda muncul di sana. [Akan dibuat nanti.] Jika itu berlaku, bererti andalah yang mewakili watak itu.
Pilihan nama adalah mengikut kehendak penulis dan tidak dapat diubah. Beberapa nama yang hampir mirip menyukarkan penulis memilih nama yang baru untuk memastikan pembaca dapat mengenali blogger yang terbabit. Harap dimaafkan sekiranya ada nama yang tidak menepati citarasa blogger yang terlibat.
____________________
Latar Tempat:
1. Negeri Gelora Bayu
2. Negeri Segara
Latar Masa:
Bila-bila masa.
Latar Alam:
1. Kawasan lapang: Medan peperangan, laman istana
2. Hutan: Kawasan latihan, lokasi pengintipan
3. Gunung-ganang
Watak-watak utama (1)
Kisra Putra
Kleo Fida
Dayang Aleeya
Ampuan Adeeb
Kisra Kaizer
Kleo Sofiya
Puteri Nisa
Datu Zakiy
Panglima Akhmal
Panglima Mijae
Datu Fadzli
Ailiff
Qushairy
Fareda
Dayang Iszryn
Nabeel
Sarah
Misya
Jangan terburu-buru menyimpul kisah. Mungkin andaian anda tidak benar.
Kisah ini hanyalah rekaan semata-mata. Tidak ada kaitan dengan yang hidup ataupun yang telah tiada.
Subscribe to:
Posts (Atom)


